Kongres Melayu, penyatuan Melayu?
KONGRES Maruah Melayu yang akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam esok akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga akan menyampaikan amanatnya.
Kata Ketua Eksekutif Sekretariat program itu, Prof Datuk Dr Zainal Kling, pihaknya tidak membuat undangan secara khusus kepada mana-mana pemimpin parti politik.
“Kita tak buat secara khusus tetapi buat secara terbuka. Kita undang Perdana Menteri untuk menyampaikan amanatnya,” katanya seperti dipetik media.
Tidak payah undangan rasmi, mana-mana pemimpin Melayu patut datang untuk sama-sama mengeluarkan pandangan dan yang penting meningkatkan lagi maruah bangsa yang semakin tercemar sekarang.
Pas mengesahkan bahawa Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menghadiri kongres itu, sementara UMNO akan diwakili Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa.
Untuk sekali ini ketepikanlah politik, ketepikan kepentingan dan keegoan peribadi, tunjukkan perpaduan Melayu dan sama-sama pertahankan maruah kita.
Jom ramai-ramai kita berhimpun! MEMANGLAH ada sahaja suara sumbang – mungkin kerana bimbang, boleh jadi juga kerana cemburu – apabila kita hendak berkongres dan bersatu.
Contohnya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mempersoalkan mengapa beberapa universiti awam di negara ini perlu menganjurkan Kongres Maruah Melayu.
Kongres itu anjuran Pusat Pengajian Kecemerlangan Universiti Malaya dengan kerjasama bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Dia bertanya akan diterima juga sekiranya nanti ada universiti lain menganjurkan Kongres Maruah Cina atau Kongres Maruah India atau Kongres Maruah Iban? SETELAH senyap seketika, semenjak dua menjak ini orang mula bercakap mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau nama manjanya GST.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menamatkan GST sebagai memenuhi janji pilihan raya, menggantikannya dengan Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST).
Macam-macam sosak-sosek: ada yang kata SST lebih baik daripada GST. Ada yang kata GST tak perlu diwujudkan semula kerana membebankan.
Ada juga yang kata jika hidupkan semula GST, terbukti kerajaan PH memang suka membuat pusingan U.
Baik orang politik atau pakar ekonomi, mereka boleh cakap apa sahaja mengenai SST dan GST, masing-masing ada hujah tersendiri.
Tetapi bagi sebahagian besar rakyat biasa pula, mereka tidak arif dan tidak kisah sangat dengan SST atau GST. Apa yang mereka kisah ialah kehidupan dan kesusahan hari-hari.
Tidak kira SST atau GST mereka akan selesa sekiranya harga ikan kembung dan sayur kangkong tidak mahal seperti sekarang. TUN Dr Mahathir Mohamad pun tidak pasti sama ada sistem percukaian lama itu @ GST akan dilaksanakan semula.
Kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail, maksud Dr Mahathir ialah kerajaan hanya akan mengkaji keperluan untuk memperkenalkan semula sistem GST jika perkara itu merupakan kehendak rakyat.
Kalau tanya rakyat, tidak ada seorang pun suka GST atau SST atau apa-apa sahaja cukai. Kalau boleh cukai jalan dan cukai pintu pun mereka tidak mahu.
Mengenai GST, biar kerajaan fikir masak-masak dulu, jangan buat keputusan mendadak. Tidak guna buat keputusan tergesa-gesa, jika kemudian ada pusingan U lagi! AKHIR kalam mengenai PRK. UMNO meramalkan mempunyai peluang cerah memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada 16 November nanti.
MCA juga melihat peluangnya cerah memandangkan Tanjung Piai ialah kawasan tradisinya sejak sekian lama dan hanya kalah sekitar 500 undi pada PRU14.
Rasanya sekiranya MIC hendak meletakkan calon pun mereka akan kata mempunyai peluang cerah untuk menang. Al-maklumlah adat orang bertanding, mana ada mengaku kalah?
Apa kata Pas dan parti lain dalam PH?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!