Pertarungan politik di Tanjung Piai
AKAN ada lagi Pilihan Raya Kecil (PRK). Kali ini ia bakal berlaku di Parlimen Tanjung Piai, Johor.
Ini berikutan kematian penyandangnya yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada September lalu.
Kalau diikutkan, ini adalah PRK kesembilan dalam tempoh 15 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.
Untuk rekod, ia juga merupakan PRK keenam yang terpaksa dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disebabkan oleh kematian penyandangnya selepas Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Semenyih dan Sandakan.
Di Tanjung Piai, demografi seimbang antara pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan jumlah sekitar 52 peratus (Melayu) dan 46 peratus (Cina) amat menarik untuk diperhatikan.
Walaupun jumlah pengundi Melayu di sana tinggi, kerusi itu secara tradisinya diperuntukkan untuk parti MCA sejak PRU11 selepas persempadanan semula Parlimen tahun 2003 yang memisahkan Tanjung Piai daripada Parlimen Pontian sebelumnya.
Begitulah juga dengan parti lawan.
Ketika era Pakatan Rakyat (PR), kawasan ini telah tiga kali ditandingi DAP (di mana dua daripada tiga PRU itu DAP meletakkan orang Melayu sebagai calonnya) dan tewas kesemuanya sehinggalah kerusi itu dirampas oleh Pakatan Harapan (PH) menerusi parti Bersatu dalam PRU-14.
Itupun Bersatu menang dengan majoriti yang sangat kecil, lebih banyak undi rosak (841) berbanding undi majoriti (524) yang diterimanya pada masa itu.
Justeru, di sebalik sejarah dan latar belakang demografi yang sebegitu, timbul persoalan apakah pakatan pembangkang UMNO-Pas berani menggunakan formula yang sama di Tanjung Piai nanti.
Dengan pembentukan rasmi Muafakat Nasional UMNO-Pas dan kejayaan kerjasama sebelumnya dalam PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, menggunakan templat yang sama adalah satu pilihan bijak dan selamat.
Tambahan pula, dengan jumlah besar pengundi Melayu di situ, maka calon Melayulah yang paling sesuai dipasang bila tiba PRK itu kelak.
Setia kawan
Tetapi kalaulah ini berlaku, ada kebarangkalian pengundi bukan Melayu terutamanya orang Cina menjauhi UMNO-Pas.
Meletakkan calon Melayu dengan mengorbankan tradisi dan setiakawan sedia ada untuk menang pilihan raya mungkin bagus untuk jangka pendek, malah ia telah berlaku ketika PRK Cameron Highlands apabila BN mengorbankan MIC bagi memastikan kerusi itu kekal milik BN.
Namun begitu, untuk jangka masa panjang, ia dilihat tidak bijak dan selamat.
Adalah amat sukar bagi mana-mana parti politik untuk menubuhkan kerajaan tanpa ada sokongan dan undi daripada kaum yang lain, satu hakikat yang sangat difahami oleh UMNO ketika berada dalam BN dahulu.
Sebab itu apabila bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mencadangkan agar kerusi itu dikekalkan kepada MCA, ia semacam satu peringatan kepada UMNO-Pas supaya bersikap realistik di sebalik kegembiraan atas penyatuan dua parti itu.
Ini kerana, walaupun MCA ketika ini lemah, mengetepikan mereka daripada setiap perancangan dan perbincangan politik UMNO-Pas adalah tidak wajar dilakukan.
Tambahan pula, MCA masih diperlukan sebagai rakan politik UMNO-Pas untuk meraih sokongan orang Cina selepas kehilangan parti Gerakan yang keluar daripada BN selepas PRU14.
Setakat ini, MCA sudah diberikan peluang bertanding dan kalah teruk dalam PRK Balakong.
Bagi MIC pula, perampasan kerusi tradisi mereka ketika PRK Cameron Highlands masih terasa lukanya, walaupun hakikatnya MIC tidak pernah kalah di situ.
Dengan kehadiran Pas sebagai rakan baharu UMNO di samping gelombang sentimen Melayu-Islam yang nampaknya semakin kuat dan membesar, meletakkan calon Melayu mungkin membuatkan MCA dan MIC bertambah kecil hati dengan UMNO.
Sebab itu perkara ini menjadi dilema kepada UMNO-Pas. Apa yang menjadi prioriti di Tanjung Piai ini, semangat setia kawankah atau peluang menang pilihan raya? Dan siapa pula yang mahu beralah?
Memang tiada jaminan bahawa akan berlaku undi mengikut jalur kaum di PRK Tanjung Piai. Ketika PRK Rantau lalu, kemenangan bergaya Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) banyak dibantu oleh undi orang Cina dan India.
Namun begitu, Rantau tidak serupa dengan Tanjung Piai kerana ia memang kerusi tradisi UMNO dibantu dengan personaliti dan aura Tok Mat yang sangat disenangi semua kaum.
Justeru, beranikah UMNO-Pas meletakkan calon Melayu sepertimana yang dijangkakan? Atau MCA diberikan peluang sekali lagi atas prinsip setia kawan dan menghormati tradisi? Sama-sama kita tunggu perkembangannya.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!