Pembangunan yang disempitkan
BEBERAPA hari lepas saya sempat juga singgah di Kampung Baru. Kebetulan ke Kuala Lumpur menghantar anak untuk ke KLIA.
Sebelum ini pun semasa tinggal di Lembah Klang, saya selalu ke Kampung Baru.
Kebiasaannya datang untuk menikmati makanan yang berbagai-bagai itu. Memang terdapat pelbagai juadah yang boleh kita nikmati di situ.
Nasi Lemak Antarabangsa antara yang terkenal sebelum ini di Kampung Baru merupakan salah satu faktor juga yang menaikkan nama kampung tersebut.
Secara jujurnya, nasi lemak tersebut tidaklah sedap mana. Hanya biasa-biasa sahaja. Cuma aroma ayam berempah itu sebenarnya yang membuka selera.
Saya yang lebih konservatif tentang makanan ini tidak berapa berkenan jika nasi lemak digandingkan dengan lauk-pauk yang lain.
Bagi saya kalau nasi lemak hendaklah berlaukkan ikan bilis, ikan tongkol, telur rebus dan timun sahaja.
Sekarang Kampung Baru masih mengekalkan suasana yang sederhana juga. Masih seperti dahulu.
Cuma yang buat saya terkejut dan hampir melompat, harga air minumannya. Teh ais segelas di beberapa kedai yang saya pergi berharga RM3 hingga RM4.
Tidak tahulah saya teh, susu, gelas, straw atau air apa yang dipakainya.
Saya hanya berjalan kaki ketika menelusuri Kampung Baru.
Ia sebenarnya kawasan yang selesa juga. Dan boleh dinaikkan taraf lagi supaya mesra kepada mereka yang ingin berjalan kaki atau menaiki basikal pula.
Pembangunan
Namun, baru-baru ini kerajaan melalui Menteri Wilayah Persekutuan iaitu Pak Khalid Samad hendak membangunkan Kampung Baru ini pula.
Isu membangunkan kampung ini sudah berlarutan lama dan masih belum ada penyelesaian.
Kata Pak Khalid, Kampung Baru perlu dibangunkan dengan bangunan baharu, bangunan tinggi, rumah sederhana harganya, rumah mahal harganya dan rumah mampu milik juga.
Dan susur pejalan kaki untuk ke KLCC disediakan juga. Supaya katanya, rakyat jelata yang bekerja di KLCC dapat berjalan kaki sahaja untuk ke tempat kerja.
Dan kata Pak Khalid lagi, rumah kampung Melayu lama atau tradisional akan dikekalkan juga.
Tidak tahulah saya berapa buah rumah Melayu lama yang ada dan akan dikekalkan dan bagaimana susun atur pelannya.
Tetapi begitulah kata Pak Khalid ketika saya menonton rancangan yang disiarkan di stesen televisyen baru-baru ini.
Selain itu, kata Pak Khalid lagi, pembangunan ini perlu kerana jika tidak, penduduk akan tersepit dengan arus pembangunan di situ.
Kenyataan beliau itu membuatkan saya berfikir juga, apakah maksudnya tersepi?
Mungkin disebabkan pembangunan dan dikelilingi bangunan moden dan tinggi di sekeliling maka rakyat jelata yang berada di tengah kota itu tersepit ketika hendak membuka pintu rumah. Begitulah agaknya.
Saya ada membuat kajian tepi untuk mengetahui apa sebenarnya maksud pembangunan ini.
Kebanyakan apa yang saya dengar dan lihat apabila disebut pembangunan ini mestilah melibatkan bangunan yang tinggi, moden, mewah dan juga cantik.
Memang tidak dinafikan bahawa bila ada pembangunan ini, ada impak di sekelilingnya dari segi sosial dan kemasyarakatannya.
Cuma persoalan saya untuk membangun, adakah hanya dengan membuat bangunan batu yang indah dan tinggi-tinggi baru dikatakan membangun?
Maka itulah soalan yang bermain-main di benak fikiran saya ini sehingga saya membuat kajian juga untuk menghuraikan maksud sebenar yang pada saya telah disempitkan.
Dalam carian saya, banyak juga artikel dan jurnal yang membicarakan tentang maksud pembangunan ini. Masing-masing dengan pendapat dan hujah sendiri.
Dan ia bukan mudah untuk memberi erti maksud sebenarnya kerana ia mempunyai berbagai takrifan pula. Maka tidaklah saya ingin memberi ulasan dengan panjang lebar dalam ruangan kolum ini.
Cuma daripada pencarian saya berkenan maksud ini, sarjana bijak pandai kita ada memberitahu yang rata-ratanya kefahaman tentang maksud pembangunan telah disempitkan iaitu kadangkala digunakan dalam pengertian yang hanya sebagai industralisasi atau pemodenan sahaja.
Oleh itu, eloklah diperluaskan lagi. Maju, moden dan membangun bukan hanya terlihat pada bangunan yang tinggi dan mewah sahaja. Dan juga bukan semua tempat yang perlu dibangunkan begitu.
Ada tempat yang perlu dipelihara juga akan keasliannya supaya jati diri sesuatu bangsa dikekalkan dan dan dapat dinikmati oleh generasi seterusnya dengan mengambil contoh ‘China Town’ dan seperti Kampung Morten Melaka juga.
Bak kata pepatah Melayu, adapun kata ada pangkalnya.
*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!