'Saya tak fikir Tun M remehkan manifesto PH'
PORT DICKSON - Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui kerajaan sukar menunaikan manifestonya, bukanlah bermaksud untuk meremehkan manifesto Pakatan Harapan (PH), kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, kenyataan yang dibuat Dr Mahathir itu sebaliknya, hanya untuk menyatakan secara ikhlas manifesto yang boleh dilaksanakan dan yang perlu ditangguhkan.
“Saya tidak fikir Tun Dr Mahathir meremehkan soal manifesto, tetapi maksudnya secara ikhlas menyatakan ada yang kita boleh laksanakan dan ada yang kita tangguh,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog majlis TemuAnwar@UNITI di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Dr Mahathir hari ini yang mengakui kerajaan sukar menunaikan manifestonya termasuk janji untuk memansuhkan beberapa undang-undang yang drakonian atau keterlaluan.
Ditanya adakah manifesto PH mustahil untuk dilaksanakan, Anwar berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Pemukiman Pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Mesyuarat Majlis Presiden PH.
“Esok ada Pemukiman Pimpinan PH dan Isnin ada Mesyuarat Majlis Presiden PH, saya percaya perkara ini boleh dibangkitkan dan dibincangkan bersama Tun Dr Mahathir... kita akan tanya dia (Dr Mahathir) sendiri,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: PH mangsa manifesto sendiri, kata Tun M
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat penjelasan sekali lagi berhubung keputusan tidak membenarkan pengundi berusia 18 tahun mengundi, sebaliknya calon berusia 18 tahun dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai akan datang.
“SPR sudah jawab akan pengundi berusia 18 tahun akan diwartakan dahulu oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ia dapat dilaksanakan, tetapi timbul soalan kata bagaimana calon berusia 18 tahun boleh jadi calon tetapi tidak boleh mengundi.
“Saya harap SPR jelaskan sekali lagi, disebabkan ada proses-prosesnya yang SPR sedang lakukan, kerana melibatkan jutaan orang, ia perlukan perisian dan sebagainya... sebaiknya kedua-duanya (benarkan calon berusia 18 tahun bertanding dan benarkan pengundi berusia 18 tahun mengundi) sekali,” katanya.
PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor pada 16 November depan bakal menyaksikan calon berusia 18 tahun dibenarkan bertanding buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara.
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun pada Selasa lalu berkata, ia berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 47 berkaitan perubahan had umur calon dari 21 tahun dikurangkan kepada 18 tahun sudah diwarta dan dikuatkuasakan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!