Rokok: Belum ada kompaun dikenakan
KUALA TERENGGANU - Belum ada kompaun dikeluarkan terhadap kesalahan merokok di premis makanan di negeri ini.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, pemantauan dan penguatkuasaan tegas akan terus dijalankan bagi memastikan setiap individu mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Seramai 283 pegawai penguatkuasa akan membuat pemantauan ke arah pematuhan larangan merokok di tempat makan di seluruh Terengganu.
"Ia melibatkan 6,239 premis makanan termasuk restoran, gerai makan dan penjaja," katanya.
Selain itu, taklimat kepada pengusaha premis makanan juga akan terus dilaksanakan supaya arahan itu dipatuhi.
"Taklimat kepada pengusaha premis tempat makan telah dilaksanakan di seluruh daerah melibatkan 667 pengusaha bermula bulan Oktober 2018.
"Sesi itu akan dilakukan secara berterusan. Kita juga telah mengedar 4,000 risalah berkaitan larangan ini dan akan mengeluarkan notis amaran kepada yang merokok di mana-mana tempat makan," katanya.
Penguatkuasaan larangan merokok ditetapkan dalam lingkungan jarak tiga meter dari premis makanan sama ada berhawa dingin atau tidak.
Tujuan pewartaan larangan merokok di semua tempat makan bagi melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.
Ia juga selaras dengan komitmen Malaysia kepada Artikel 8, World Health Organization (WHO) Framework Convention on Tobacco Control (FCTC).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!