'Tak sempat angkut kerbau curi'
Dalam kejadian sekitar jam 3.45 pagi itu, suspek berusia 34 tahun yang beralamat dari Baling, Kedah dilihat memberhentikan keretanya berhampiran sekumpulan kerbau.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, tindakan suspek disedari pemilik ternakan bersama tiga rakan lain yang kebetulan berada di kawasan berhampiran.
Menurutnya, suspek dipercayai melepaskan tembakan ke atas seekor kerbau menggunakan ubat pelali.
"Ketika memerhatikan tindakan suspek didapati seekor kerbau tumbang dipercayai ditembak ubat pelali.
"Menyedari sedang diperhatikan, suspek kemudiannya terus melarikan diri menaiki keretanya jenis Proton Wira menghala ke arah Selat Pagar," katanya.
Beliau berkata, pemilik ternakan bersama rakan berjaya mengekori suspek sehingga berhenti di kawasan berhampiran Hentian Rehat Selat Pagar.
Katanya, pemilik kerbau berusia 56 tahun itu kemudiannya menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
"Tangkapan terhadap suspek telah dilakukan dan kes disiasat dibawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!