Integrasi ILKKM jimat kos operasi RM200 juta
SABAK BERNAM - Kementerian Kesihatan menegaskan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) akan diintegrasikan secara berfasa bagi tujuan penjimatan.
Integrasi itu juga akan meningkatkan operasi mengurus dengan lebih efisien dan cekap pada masa depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kaedah itu juga mampu menjimatkan kos operasi hampir RM200 juta.
Menurutnya, ILKKM yang diintegrasikan itu tidak mengurangkan pelatih seperti kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam.
"Saya rasa mereka (Cuepacs) tidak mendapat maklumat yang lengkap.
"Perkara ini telah saya bangkitkan sejak dari awal melalui penerangan dan jawapan mengenai perkara ini di Dewan Rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas Program Santuni Rakyat: Kenali Ubat Anda di Dewan Dato' Penggawa Permatang Kuala Selangor di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, sebanyak 19 ILKKM diintegrasikan secara berfasa yang melibatkan sembilan ILKKM pada fasa pertama.
"Kapisiti ILKKM akan menjadi lebih optimum dengan 13 daripadanya berfungsi sebagai model Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB)," katanya.
Semalam, Cuepacs membantah langkah Kementerian Kesihatan menutup sembilan ILKKM Julai lalu.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, penutupan telah menjejaskan sekurang-kurangnya 375 kakitangan di institut berkenaan yang mempunyai kemahiran tinggi setanding peringkat antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!