WKB2030: Bumiputera B40 terima manfaat besar
KUALA LUMPUR - Lebih 70 peratus Bumiputera daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) dijangka menjadi penerima manfaat paling utama dari Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di bawah wawasan baharu ini pelaksanaan strategi dan inisiatif khusus akan dibuat untuk meningkatkan pendapatan golongan B40 serta menyediakan pelbagai sokongan untuk mereka meningkatkan keupayaan diri.
Beliau berkata, itu termasuk pembangunan kemahiran dan profesionalisme, penyertaan dalam rantaian bekalan dan penciptaan kekayaan.
"Maka, Bumiputera sebagai kelompok teramai dalam kumpulan B40 adalah antara golongan yang bakal menerima manfaat paling utama.
"Keberhasilan Bumiputera secara keseluruhannya merupakan antara intipati penting wawasan begitu juga dengan kaum lain," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perasmi dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Katanya, hampir 30 peratus daripada golongan B40 terdiri daripada bukan Bumiputera akan turut menerima manfaat yang besar daripada pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi.
"Prinsip asasnya adalah jelas iaitu mana-mana kumpulan masyarakat yang terpinggir akan dibantu oleh kerajaan.
"Berbeza dengan dasar ekonomi sebelum ini yang kebanyakannya melihat jurang ekonomi dari sudut kaum, Wawasan Kemakmuran Bersama melihat masalah jurang ekonomi dari sudut yang lebih luas, iaitu merangkumi kelas pendapatan, wilayah dan rantaian bekalan," katanya.
Beliau berkata, menerusi pendekatan yang lebih holistik semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan dapat mengecapi nikmat kemakmuran apabila segala jurang ekonomi yang wujud di negara ini dapat dirapatkan," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, strategi dan inisiatif yang diambil di bawah wawasan itu perlu mampu memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan mengekal serta meningkatkan daya saing negara.
Katanya, pengagihan ekonomi yang adil dan saksama hanya akan dapat dilaksanakan dalam keadaan ekonomi negara berkembang dengan rancak dan mapan.
"Tiada apa yang boleh diagih kepada rakyat sekiranya pertumbuhan ekonomi negara perlahan dan menguncup.
"Oleh itu, usaha untuk mengagih kek ekonomi negara secara adil dan saksama kepada rakyat mestilah bergerak seiring dengan usaha-usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meningkatkan daya saing negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!