Lupus bot bukti kerajaan tegas terhadap pencerobohan perairan negara

Salahuddin meninjau pelupusan bot rampasan di perairan Pulau Kapas semalam.
Gambar kecil: Salahuddin
Salahuddin meninjau pelupusan bot rampasan di perairan Pulau Kapas semalam. Gambar kecil: Salahuddin
A
A
A

KERAJAAN komited dalam menangani isu pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara dan tindakan tegas akan dikenakan mengikut undang-undang Malaysia di bawah Akta Perikanan yang telah diperkemaskan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Kabinet telah memutuskan supaya Operasi Naga yang melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus mengawasi perairan negara.

Menurutnya, kerajaan telah mengambil satu tindakan tegas baru-baru ini dengan menenggelamkan lima bot nelayan asing yang didapati bersalah menceroboh perairan dan menangkap sumber ikan negara secara haram.

“Tindakan diambil atas nama kedaulatan negara, sebagai rakyat yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara dan sumber makanan iaitu ikan serta demi kepentingan nelayan tempatan kita.

“Ini suatu mesej yang jelas yang kita berikan kepada mana-mana negara yang terlibat dalam isu pencerobohan perairan negara dan kerajaan tidak akan berganjak,” katanya selepas menyaksikan pelupusan vesel penangkapan ikan asing di perairan Pulau Kapas di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan; Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim; Pengarah APMM Pahang, Laksamana Muda (M) Datuk Zulkarnain Mohd Omar dan Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Salahuddin berkata, beliau akan mengambil tanggungjawab untuk memastikan segala kelemahan Akta Perikanan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Pemegang-pemegang lesen tempatan juga diberikan amaran supaya tidak sesekali menjual lesen yang diberikan dan memberikan keizinan kepada bot asing untuk menggunakan lesen.

Artikel Berkaitan:

“Ini juga kita akan pastikan mereka akan diambil tindakan dan Kementerian tidak akan teragak untuk mengheret mereka ke muka pengadilan dan merampas lesen mereka. Ini merupakan satu tindakan yang kami lakukan atas nama rakyat dan kedaulatan negara.

“Yang penting saya mahu membela terus nelayan kita supaya mereka dapat menangkap hasil sumber laut kita tanpa gangguan dari pihak asing,” katanya.

Bot rampasan yang dilucut hak berjaya dilupuskan di perairan Pulau Kapas, pagi tadi.
Bot rampasan yang dilucut hak berjaya dilupuskan di perairan Pulau Kapas, pagi tadi.

Beliau berkata, kementerian menjangkakan hampir separuh daripada RM6 bilion kerugian hasil laut setahun akibat pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara dapat dikurangkan melalui Operasi Naga secara agresif.

“Selain dapat mengurangkan kerugian, penguatkuasaan yang lebih tegas dan memperhebatkan operasi ini dapat memaksimumkan hasil tangkapan, sekali gus harga ikan dapat dikawal dengan baik,” katanya

Salahuddin berkata, MOA melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) komited melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi membanteras pencerobohan bot asing terutamanya di Pantai Timur.

“Dalam tempoh lima bulan, Ops Naga ini berjaya menahan sebanyak 128 vesel atau bot termasuk warga asing yang telah dihadapkan ke mahkamah.

Sebanyak 647 kes tangkapan bot asing telah dilaksanakan oleh penguat kuasa DOF, PPM dan APMM dari 2015 sehingga kini.

“Di samping itu juga, PPM bersama DOF telah menjalankan Operasi Gelora Khas yang bermula Jun lalu yang dijalankan kira-kira 100 batu nautika dari Pulau Tioman, Pahang sehingga ke Pulau Tenggol, Dungun.

“Hasil operasi bersepadu itu, kita berjaya merampas 14 bot nelayan asing dengan nilai rampasan kira-kira RM12 juta yang dipercayai telah menceroboh perairan negara serta mencuri hasil laut untuk dibawa balik ke negara asal mereka,” katanya.

Lima bot rampasan dilupuskan

Lima bot rampasan asing yang dilucut hak di bawah Akta Perikanan 1985 melalui kerjasama DOF dan APMM telah berjaya dilupuskan di perairan Pulau Kapas pagi baru-baru ini.

Tegas Salahuddin, kerajaan mengharapkan pelupusan bot-bot rampasan itu akan memberi amaran dan pengajaran kepada mana-mana bot asing yang cuba menceroboh perairan negara.

“Kerajaan komited dalam menangani isu ‘illegal, unreported and unregulated (IUU) fishing’. Kerjasama serantau juga diperkukuhkan untuk membanteras penangkapan ikan secara haram (RPOA-IUU) melalui platform bilateral dengan negara-negara ASEAN terutamanya,” katanya.

Bagi mengekang pencerobohan nelayan asing ke dalam perairan negara, Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (pindaan 2019) telah mendapat kelulusan Parlimen bagi meningkatkan kadar denda.

Ia melibatkan denda maksimum bagi nakhoda bot asing yang menceroboh perairan Malaysia dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi tiap-tiap anggota kru juga dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!