PRK Tanjung Piai 'latihan amali' untuk UMNO tawan PRU15

Hasni (tiga dari kiri) menyampaikan potret Ahmad Zahid sebagai gimik perasmian Majlis Konvensyen UMNO Johor 2019 di sini hari ini.
Hasni (tiga dari kiri) menyampaikan potret Ahmad Zahid sebagai gimik perasmian Majlis Konvensyen UMNO Johor 2019 di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November ini adalah satu bentuk latihan amali kepada UMNO Johor untuk mempersiapkan diri bagi memenangi semula negeri ini pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, perkara itu berikutan parti itu kini berdepan cabaran besar ekoran perubahan drastik situasi politik negara termasuk mentaliti rakyat khususnya kaum Melayu sendiri.

Menurutnya, persediaan itu harus diberi perhatian kerana dalam konteks politik yang tidak menentu ketika ini, PRU boleh diadakan pada bila-bila masa.

"Untuk memenangi Johor bukanlah perkara yang mudah. Ini kerana keadaan dan situasi politik di Johor amat berliku. Jika wujud satu permasalahan, penyelesaiannya memerlukan formula yang berlainan dari negeri lain.

"Kita harus menyedari sikap dan demografi pengundi Melayu sudah berubah. Dahulu Johor adalah negeri selamat. Tidak kira siapa pun calonnya, kalau dia bertanding di Johor, calon tersebut akan pasti menang, namun masa sudah bertukar. Itu bukan kelebihan kita lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen UMNO Johor 2019 yang diadakan di Hotel Trove, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hasni yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut turut memaklumkan, UMNO Johor juga perlu mengamalkan model baharu dalam menentukan calon, pengagihan kerusi dan kawasan serta naratif pilihan raya yang sesuai.

Artikel Berkaitan:

"Maka, Cara Johor atau 'The Johor Model' bakal dikembang dan dipraktikkan dalam doktrin perkongsian kuasa Barisan Nasional (BN) mengikut kesesuaian negeri kita.

"Mungkin PRK Tanjung Piai boleh menjadi permulaan bagi model persefahaman baharu ini," katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan Hasni sebagai Pengarah PRK Tanjung Piai selain Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan sebagai Pengarah Operasi PRK Tanjung Piai mewakili BN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!