WKB2030 gagasan holistik, komprehensif
KUALA LUMPUR - Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) merupakan satu gagasan yang holistik dan komprehensif.
Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, wawasan itu terhasil selepas pihaknya mengambil masa hampir setahun membuat kajian dari segi kedudukan ekonomi semasa dan menggubal satu hala tuju baharu ekonomi yang menekankan aspek pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak serta pengagihan kekayaan yang lebih adil.
Menurutnya, walaupun dasar-dasar ekonomi sebelum ini menunjukkan kejayaan namun masih ada kelemahan tertentu termasuk masalah ketirisan dan kesukaran dalam pelaksanaan yang menyebabkan sasaran-sasaran yang ditetapkan tidak dapat dicapai sepenuhnya.
"Susulan itu, pelbagai sesi libat urus diadakan dengan pelbagai pemegang taruh termasuk pertubuhan ekonomi, kumpulan usahawan dan peniaga, ahli akademik, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik untuk mendapatkan input dan pandangan daripada semua pihak.
"Hasilnya, tercetuslah idea Kemakmuran Bersama atau 'Shared Prosperity' yang menjadi teras kepada WKB2030 yang dilancarkan hari ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran WKB2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.
Muhyiddin berkata, WKB2030 yang merupakan kesinambungan Wawasan 2020 itu menyediakan satu landasan baharu untuk Malaysia melonjakkan pencapaian ekonominya dan memenuhi hasrat rakyat untuk mengecapi kehidupan yang makmur dan sejahtera.
"Menerusi wawasan ini, pelbagai usaha akan dilaksanakan oleh kerajaan antaranya untuk meningkatkan pendapatan rakyat yang akan membolehkan setiap isi rumah mengecapi taraf hidup yang wajar, menerima faedah daripada sistem penyampaian dan tadbir urus kerajaan yang berintegriti serta hidup dalam suasana yang aman, sejahtera dan sentosa," katanya.
Beliau berkata, kesemua matlamat itu terkandung dalam WKB2030 yang juga merupakan tawaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk seluruh rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, katanya, semua inisiatif di bawah wawasan ini mestilah dilaksanakan dengan gigih dan bersungguh-sungguh oleh semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana.
Selain itu, katanya, satu sistem pemantauan secara bertahap juga perlu diwujudkan untuk memastikan keberhasilan setiap sasaran yang ditetapkan di bawah teras dan strategi utama wawasan ini dapat dicapai dalam tempoh 10 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!