Pahang tumpu lima sektor tingkat ekonomi
KUANTAN - Kerajaan Pahang akan menumpukan kepada lima sektor termasuk sektor pertanian berteknologi tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tumpuan terhadap sektor pertanian tersebut dilihat bersesuaian kerana mengambil kira penglibatan penduduk di negeri ini khususnya di kawasan pedalaman dalam bidang pertanian.
Menurutnya, selain pertanian berteknologi tinggi, kerajaan negeri turut menumpukan kepada sektor ekopelancongan, ekonomi komoditi, produk hiliran, perlombongan moden, hab pengangkutan dan logistik.
"Sasaran utama ini adalah bersesuaian khususnya berkaitan pertanian berteknologi tinggi dan kerajaan akan memberi tumpuan ke arah memajukan lagi sektor pertanian di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan WKB2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
WKB2030 merupakan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021 hingga 2030.
Mengulas lanjut mengenai pelancaran itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang menyambut baik WKB2030 dalam usaha merapatkan jurang kekayaan antara rakyat dan wilayah di negara ini dan berharap wawasan tersebut dapat memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negara termasuk Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!