Kisah Aqish dan Yu Qie

A
A
A

AQISH Afrina Azman merupakan anak Melayu, bapanya berketurunan Jawa manakala ibunya berdarah campuran Melayu dan India.

Dia dilahirkan dan membesar di Shah Alam, Selangor. Ong Yu Qie pula merupakan anak Cina Peranakan yang dilahirkan dan membesar di Rantau Panjang, Kelantan.

Ikan di laut, asam di darat, akhirnya bertemu di kuali jua. Aqish dan Yu Qie berjumpa buat kali pertama di Bukit Bendera sehari sebelum Majlis Konvokesyen USM yang ke-57 di Pulau Pinang baru-baru ini. Ibu Aqish merupakan adik ipar saya (adik kepada isteri saya) manakala ibu Yu Qie ialah adik perempuan saya. Walaupun baru berumur empat tahun, Yu Qie sudah fasih berbahasa Melayu dan boleh berbual serta bermain dengan Aqish yang seusia dengannya.

Apa yang menarik perhatian saya adalah walaupun baru sahaja bersua muka dan berkenalan, mereka bergaul mesra dan bermain bersama-sama, seolah-olah sudah saling mengenali. Aqish melihat Yu Qie sebagai seorang sahabat, bukannya sebagai seorang Cina yang beragama Buddha. Begitu juga Yu Qie melihat Aqish sebagai kawan baiknya, bukan sebagai orang Melayu yang beragama Islam.

Hubungan dua kanak-kanak cilik ini merupakan persahabatan yang ikhlas, tanpa sebarang rasa curiga. Sebagai kanak-kanak, mereka tidak melihat sebarang perbezaan pada warna kulit mahupun kepercayaan. Melihat pada keletah kedua-duanya sambil mereka bermain, timbul satu keyakinan dalam diri saya bahawa Malaysia masih mampu kekal aman dan sentosa selagi anak-anak ini tidak dicorak pemikiran mereka dengan unsur-unsur perkauman atau rasisme.

Kanak-kanak tidak kenal erti perkauman, apatah lagi menjadi rasis. Yang membuatkan seseorang menjadi rasis biasanya adalah lebih kepada pengaruh didikan dan persekitaran. Yang berbalah biasanya orang dewasa. Mengapa hendak membazirkan masa berbalah apabila kita sama-sama lahir dan membesar di tanah air yang sama? Saya sendiri sangat terkesan dan bimbang akan tulisan-tulisan berbau perkauman di media sosial, ditambah dengan ayat-ayat yang kesat lagi menyedihkan.

Sungguh tidak dapat difahami mengapa sangat ramai netizen yang sering kali beremosi dan menulis perkara yang tidak mungkin mereka akan ucapkan jika berdepan dengan orang yang mereka kritik atau kecam itu. Setiap perkara yang terjadi sering dikaitkan dengan perkauman.

Kita lihat sahaja pada peristiwa di Low Yat yang merupakan kes curi telefon bimbit pada tahun 2015. Ia adalah kesalahan jenayah tetapi akibat sebaran cerita palsu, hampir terjadi rusuhan kaum kerana pertelagahan itu melibatkan dua kaum. Begitu juga jika terdapat kemalangan jalan raya yang melibatkan Ah Chong yang telah melanggar Ali, sebagai contoh. Cerita di media sosial akan berbunyi 'Cina langgar Melayu' dan bukannya Ah Chong langgar Ali.

Artikel Berkaitan:

Orang Melayu yang tidak bercampur dengan masyarakat Cina biasanya akan menganggap semua orang Cina adalah penipu. Manakala orang Cina yang tidak pernah bergaul dengan komuniti Melayu biasanya akan menganggap semua Melayu adalah pemalas. Ini adalah tanggapan yang salah dan generalisasi yang tidak adil. Persepsi yang tidak betul ini jika disua acap kali, akhirnya menyebabkan mereka menjadi rasis.

Rasisme kerap terjadi apabila satu-satu individu atau golongan hanya bergaul dengan kelompok bangsa mereka sendiri dan tidak bercampur dengan bangsa lain. Tahap prejudis mereka boleh menjadi terlalu tinggi dan menebal kerana merasakan kaum mereka sahaja yang hebat dan bagus.

Maka, apabila saya melihat kemesraan antara Aqish dan Yu Qie walaupun baru berjumpa, saya merasakan masih ada sinar untuk generasi akan datang di Malaysia. Antara kuncinya ialah bahasa Melayu yang menjadi bahasa pengantara yang telah memungkinkan serta memudahkan komunikasi antara mereka berdua.

Sebagaimana fitrah bayi yang baru dilahirkan, kanak-kanak ibarat kain putih. Kita sebagai orang dewasa yang perlu memainkan peranan mencorak sikap serta memupuk nilai-nilai kemanusiaan dalam diri mereka. Semoga anak-anak yang suci ini terus membesar dalam keadaan aman dan sentosa tanpa sikap perkauman.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!