Manchester United yang dulu bukanlah yang sekarang

Solskjaer (kiri) akui The Red Devils mengambil masa untuk membentuk semula kekuatan.
Solskjaer (kiri) akui The Red Devils mengambil masa untuk membentuk semula kekuatan.
A
A
A

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui The Red Devils bukan lagi gergasi Inggeris yang digeruni pesaing seperti pada era 1990-an sebaliknya kelab terkaya dunia itu perlu membentuk semula kekuatan mereka.

Menurut pengendali dari Norway itu, The Red Devils kini perlu realistik mengambil tempoh masa untuk kembali digeruni pada saingan domestik dan Eropah.

“Kita berada pada era persaingan sengit bukan lagi seperti pada era 90-an kerana lawan kita sebelum ini kini sedang meningkat menyaingi kita.

“Dalam bola sepak akan ada pasang surut itu kenyataan dan saya melihat perkembangan ini sebagai cabaran positif.

“Saya tidak tahu apa yang lawan fikirkan mengenai kelab ini, apa yang pasti pemain-pemain saya sudah memberi aksi pada tahap terbaik pada setiap perlawanan.

“Cumanya ada ketikanya pemain-pemain beraksi bukan pada tahap sebenar mereka tapi bukan selalu. Kelab ini perlu positif dan agresif untuk kembali menjadi kuasa bola sepak digeruni dan dihormati lawan,” katanya.

Pada era 1990-an, Manchester United merupakan kelab yang tidak hanya digeruni pada saingan domestik tetapi juga pada peringkat Eropah.

Pada era kemuncaknya The Red Devils meraih kejuaraan treble pada 1999 dengan Solskjaer menjadi sebahagian daripada skuad pada masa itu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Solskjaer juga mengaku akan mempertahankan pendekatan menggunakan lebih ramai pemain muda bagi menggalas cabaran kelab itu.

“Tidak banyak kelab dengan status seperti Manchester United berani mempertaruhkan ramai pemain muda seperti kami.

“Pemain muda ini mempunyai peluang untuk masuk skuad senior dan saya yakin beberapa dalam kalangan pemain ini akan berjaya pada masa depan,” kata Solskjaer

Pada masa sama bekas tonggak The Red Devils, Ryan Giggs meminta pengurusan dan penyokong Manchester United memberi lebih masa kepada pengendali berusia 46 tahun itu membentuk kembali kelab berkenaan.

“Solskjaer musim ini perlu bersaing dengan pengurus-pengurus liga seperti Pep Guardiola dan Jurgen Klopp yang sudah mempunyai skuad mantap yang dibentuk dalam beberapa musim sebelum ini.

“Jadi Solskjaer juga perlu diberikan masa membentuk semula kekuatan kelab yang boleh bermain dengan pendekatan yang beliau inginkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!