Tanah kubur Islam di Segambut makin padat

Mohd Hanif menunjukkan keadaan kubur sedia ada di Segambut yang semakin penuh dan hanya mampu bertahan sehingga lima tahun lagi.
Mohd Hanif menunjukkan keadaan kubur sedia ada di Segambut yang semakin penuh dan hanya mampu bertahan sehingga lima tahun lagi.
A
A
A

SEGAMBUT - Kariah Segambut menyuarakan kebimbangan akan status tanah kubur lama yang tidak diselenggara sementara tanah kubur sedia ada yang digunakan sejak 1973 pula semakin penuh.

Wakil penduduk, Mohd Hanif Aliak Akbar berkata, isu tersebut disebabkan tanah kubur lama itu tidak digunakan pada tahap maksimum selepas sebahagian kecil kawasan itu dijadikan penempatan.

Menurutnya, kegunaan tanah di kubur sedia ada semakin padat dan dijangka mampu digunakan sehingga lima tahun dari sekarang.

Keadaan tanah kubur lama yang terletak di Jalan Ipoh di sini.
Keadaan tanah kubur lama yang terletak di Jalan Ipoh di sini.

"Kami baru dalam cadangan untuk meluaskan kawasan tanah kubur itu dengan membuat permohonan ke atas tanah rizab kerajaan yang bersebelahan kawasan itu.

"Namun selepas kerja pembersihan tapak dilakukan baru-baru ini baru kami tahu kawasan itu telah diceroboh dengan pembinaan kuil ketiga yang jaraknya kurang 200 meter antara satu sama lain," katanya.

Mohd Hanif berkata, beliau berharap pihak kerajaan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberikan perhatian berhubung keadaan status tanah itu.

"Bilangan penduduk Islam di Segambut pula semakin bertambah termasuk dengan kuarters kerajaan di kawasan tersebut yang turut menggunakan tanah perkuburan sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tajul Anuar
Tajul Anuar

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Firdaus Segambut Luar, Tajul Anuar Tajuddin berkata, tanah kubur lama tidak boleh digunakan sepenuhnya kerana diceroboh.

"Kira-kira enam rumah terdapat dalam kawasan kubur tidak termasuk sebahagian tanah kubur di sebelah sungai yang turut dibina beberapa rumah lagi.

"Difahamkan pemilik rumah pernah diberikan notis pengosongan pada 2016 namun hanya sampai di situ sahaja tindakannya. Tiada sebarang tindakan seterusnya menyebabkan isu tersebut yang sepatutnya sudah boleh selesai tergantung sehingga kini," katanya.

Menurutnya, beliau turut mempersoalkan status penyelenggaraan dan naik tarah tanah kubur itu yang sepatutnya pada tahun 2016 namun sehingga kini tiada sebarang kerja dilakukan.

"Papan tanda projek sudah dipasang malah pintu gerbang lama juga telah dirobohkan namun sehingga kini tiada sebarang kerja dilakukan.

"Pagar kubur lama juga dalam keadaan teruk dan kerja-kerja pembersihan dilakukan secara gotong-royong. Keadaan ini seolah-olah tanah kubur lama dibiarkan tidak berjaga oleh pihak jabatan agama," katanya.

Lukisan pelan menunjukkan rumah dibina atas tanah kubur di Batu 3 Jalan Ipoh.
Lukisan pelan menunjukkan rumah dibina atas tanah kubur di Batu 3 Jalan Ipoh.

Sementara itu, Presiden Persatuan Saudara Islam, Osman Abu Bakar berkata, beliau meminta pihak Jawi mengambil tindakan segera bagi mengelak isu tersebut berpanjangan dan memberi masalah lebih buruk pada masa akan datang.

"Sudah masanya pihak Jawi ambil tindakan tegas terhadap penceroboh yang menggunakan tanah wakaf kubur tanpa kebenaran. Dengan itu, tanah kubur sedia ada mampu digunakan untuk tempoh 15 tahun lagi.

"Saya juga minta pihak Jawi semak status tanah milik orang Islam di Segambut dan mengutamakan pembangunan untuk kegunaan orang Islam.

"Ini kerana saya mendapat maklumat ada tanah yang diwakafkan dan di bawah jagaan Jawi disewakan kepada orang bukan Islam sedangkan ramai penduduk Islam yang memerlukan tempat untuk berniaga dan menjalankan aktiviti di Segambut," katanya.

Usaha Sinar Harian bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak Jawi tidak berjaya dan sehingga kini belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak tersebut bagi menjawab isu dibangkitkan penduduk.

Papan tanda projek melibatkan beberapa kerja yang dicadangkan pada tahun 2016 namun sehingga kini tidak dilaksanakan.
Papan tanda projek melibatkan beberapa kerja yang dicadangkan pada tahun 2016 namun sehingga kini tidak dilaksanakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!