Enam gajah mati lemas tergelincir di air terjun

Hanya dua gajah terselamat dalam kejadian tersebut. - Foto Agensi
Hanya dua gajah terselamat dalam kejadian tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Enam ekor gajah liar dilaporkan mati lemas selepas terjatuh ke dalam air terjun di Taman Negara Khao Yai di Thailand.

Ketika kejadian itu, dua ekor gajah liar dipercayai cuba menyelamatkan seekor daripada mereka sebelum kesemuanya jatuh tergelincir ke dalam air yang deras.

"Kesemua mamalia yang mati itu termasuk anak gajah berusia 3 tahun," kata ketua taman negara itu, Kanchit Srinoppawan.

Sementara itu, jurucakap jabatan di taman negara itu, Sampoch Maneerat berkata, punca kejadian masih tidak jelas.

"Tiada siapa yang tahu apa yang menyebabkan kesemua haiwan itu jatuh. Tetapi kawasan itu dilanda hujan lebat pada malam semalam. Kami hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar suara 'tangisan' gajah itu pada jam 3 pagi (waktu tempatan).

"Beberapa jam kemudian, kami menemukan enam bangkai gajah di bahagian dasar air terjun tersebut. Beberapa pegawai bertindak mencampakkan makanan dicampur suplemen nutrisi untuk memberi tenaga kepada dua ekor gajah yang masih hidup dan berada dalam keadaan lemah.

"Kedua-duanya berjaya diselamatkan, namun berada dalam keadaan tertekan," ujarnya.

Susulan insiden itu kawasan air terjun tersebut ditutup sementara kepada orang ramai. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!