APMM rampas 29 bubu naga di perairan Perlis
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, tangkapan dilakukan masing-masing pada jarak kira-kira 0.6 dan 0.7 batu nautika barat pantai Kurung Tengar.
Menurutnya, operasi yang bermula pada jam 6 pagi itu mengesan pelampung yang dipasang sebagai penanda bubu naga yang ditinggalkan.
"Penggunaan bubu naga boleh menjejaskan sumber perikanan negara kerana tidak selektif memerangkap anak ikan komersial selain turut memusnahkan ekosistem laut negara," katanya.
Beliau berkata, kesemua bubu naga dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
“Maritim akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia," katanya.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!