Salleh Keruak sahkan mohon jadi ahli PKR melalui online
SHAH ALAM - Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyerahkan kepada kepimpinan PKR untuk mempertimbangkan permohonan beliau menyertai parti itu.
Beliau dalam laman blognya, sallehsaid.com mengesahkan memohon menjadi ahli PKR secara dalam talian.
Katanya, beliau memilih PKR kerana parti itu mengamalkan politik berbilang kaum yang sesuai dengan pegangan dan pendirian politiknya dan juga suasana politik di Sabah.
“Seperti yang pernah saya jelaskan, saya dan sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah mengambil keputusan meninggalkan UMNO pada Disember 2018 demi memberi tumpuan kepada masa hadapan Sabah.
“Saya ingin membantu PKR membawa politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan terutamanya di Sabah.
“Dalam kancah politik berteraskan kaum dan ekstremis yang boleh menggugat perpaduan serta kestabilan negara ketika ini, saya percaya PKR berada di landasan yang betul untuk menyelamatkan negara dari bencana ekstremisme,” katanya.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, sejak menyertai politik hingga kini, beliau kekal sebagai seorang yang sederhana, progresif dan amat mendukung kestabilan.
Beliau percaya penglibatannya dalam PKR adalah betul selain dapat menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran Sabah dan negara.
Salleh yang bertanding kerusi Parlimen Kota Belud pada PRU14 lalu tewas apabila memperoleh 19,167 undi berbanding calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Isnaraissah Munirah Majilis dengan 23,429 undi.
Semalam, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan menerima permohonan keahlian daripada Salleh secara dalam talian.
Bagaimanapun Biro Politik PKR akan berbincang dan memberi pertimbangan kepada perkara tersebut pada mesyuarat akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN: PKR Sabah terkejut spekulasi Salleh Keruak sertai PKR
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!