Pemimpin kerajaan, pembangkang sepentas di Kongres Maruah Melayu
SHAH ALAM - Amanat yang disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Kongres Maruah Melayu menggamit pemimpin yang hadir untuk naik menyertai pemimpin nombor satu negara itu.
Sejurus selepas Dr Mahathir selesai menyampaikan ucapan, pentas utama itu 'diserbu' pemimpin-pemimpin Melayu yang hadir.
Antara pemimpin paling awal naik ke pentas ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diikuti pemimpin Melayu Islam lain.
Turut kelihatan, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, bekas Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar.
Mereka juga kelihatan saling bersalaman antara satu sama lain.
Situasi itu memperlihatkan suatu sejarah tercipta apabila hampir keseluruhan pemimpin parti politik Melayu Islam berada dalam satu majlis untuk membincangkan soal kaum itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!