Lima fakta penting krisis Kashmir
5 Ogos adalah tarikh keramat buat rakyat Kashmir apabila kerajaan India mengisytiharkan pemansuhan Artikel 37 Perlembagaan iaitu kuasa autonomi Jammu dan Kashmir untuk mengatur urusan pentabdirannya.
Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi juga mengusulkan satu rang undang-undang untuk membahagikan wilayah itu kepada dua rantau yang akan diperintah secara langsung oleh New Delhi.
Bermula saat itu, puluhan ribu tentera India dikerah ke Kashmir, sekolah dan kolej ditutup, pelancong diarah keluar, talian telefon dan perkhidmatan internet disekat.
Pengisytiharan itu mengukuhkan lagi cengkaman penjajahan India ke atas Kashmir dan ini lima fakta penting krisis Kashmir di India:
1-Tragedi ‘Black Day’
Pergolakan antara Kashmir, India dan Pakistan bermula daripada pemisahan benua kecil India pada 27 Oktober 1947 yang lebih dikenali sebagai Black Day atau Hari Hitam.
Tragedi itu menjadi titik tolak kepada konflik Kashmir sehingga kini kerana Kashmir dibahagikan antara India dan Pakistan.
Pada tahun itu, British telah merancang untuk memisahkan wilayah India yang terdiri daripada majoriti umat Islam akan membentuk Pakistan manakala wilayah yang mempunyai majoriti penganut Hindu pula membentuk negara India.
Situasi di Kashmir sangat unik kerana meskipun majoriti penduduknya beragama Islam tetapi wilayah tersebut diperintah oleh penguasa Hindu, Hari Singh.
Singh kemudiannya memutuskan untuk menyertai India serta mendapatkan perlindungan ketenteraan India sebagai ganjaran. Bagaimanapun rundingan akhirnya tercetus kepada siri peperangan melibatkan India dan Pakistan berhubung perebutan wilayah.
2 - Keindahan bumi Kashmir
Tiga kelebihan yang membuat India mahupun Pakistan enggan melepaskan wilayah Kashmir adalah industri pelancongan, bentuk muka bumi yang subur untuk pertanian serta sumber jana kuasa elektrik yang berpusat di situ.
Keindahan bumi Kashmir cukup mempesona kerana wilayah itu memiliki empat musim dan terletak di antara Banjaran Himalaya dan Banjaran Pir Panjal di kawasan paling Utara India.
3 - Perbezaan agama
Majoriti penduduk Kashmir adalah Islam iaitu 85 peratus daripada lapan juta penduduk manakala di Jammu didiami oleh Hindu dan Ladakh oleh Buddha.
Rakyat Kashmir lebih berminat untuk bergabung dengan Pakistan berbanding India kerana latar belakang yang sama dari segi penduduk serta agama.
4 - India mahu luaskan kuasa, Kashmir ibarat Palestin di rantau Asia Selatan
Tentera India engganberundur dari Kashmir dan mahu teruskan cengkaman mereka ke atas wilayah itu. Kedudukan tentera berpangkalan di glasier Siachen memudahkan serangan udara dilakukan sekaligus memberi peluang untuk siap siaga.
India cuba mendapatkan penguasaan penuh di kawasan ditadbirnya dengan membuka ruang kepada syarikat India, penduduk Hindu membeli hartanah dan membuka penempatan baharu di Kashmir tidak ubah seperti yang dilakukan oleh rejim Zionis di Palestin.
Umat Islam di Kashmir akan kehilangan tanah, harta, dan yang lebih utama nyawa mereka.
5- Pakistan gesa PBB campur tangan
Pakistan menghantar sepucuk kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNHCHR) mendesak campur tangan badan dunia itu untuk menghentikan ‘krisis kemanusiaan’ di wilayah Jammu dan Kashmir yang ditadbir India.
Kebimbangan itu terhadap penderitaan manusia yang semakin meningkat dan pelanggaran lanjut hak asas penduduk Kashmir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!