WKB mencakupi hampir seluruh aspek 'overhaul' ekonomi

Buku WKB2030 yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Buku WKB2030 yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
A
A
A

SHAH ALAM - Hampir keseluruhan aspek yang memerlukan kepada baik pulih ekonomi disenaraikan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) namun didapati ada sukar dicapai dan menuntut perubahan besar kepada ekonomi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Penganalisis Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, WKB2030 menyenaraikan permasalahan utama ekonomi semasa yang menuntut kepada perubahan struktur ekonomi Malaysia.

"Terdapat sasaran WKB2030 yang realistik dan mampu dicapai umpamanya, sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.7 peratus setahun untuk tempoh 2021-2030 adalah realistik dengan mengambil kira potensi ekonomi Malaysia masa kini dan persekitaran ekonomi global.

"Bagaimanapun, ada juga sasaran yang agak sukar dicapai dan menuntut perubahan besar kepada ekonomi. Umpamanya, bahagian pampasan pekerja pada 2030 yang disasarkan sebanyak 48 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bahagian pampasan pekerja 2015 adalah sebanyak 34.9 peratus dan hanya meningkat kepada 35.7 peratus pada 2018 manakala sasaran sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada KDNK 2030 adalah sebanyak 50 peratus.

"Sedangkan dalam tempoh lima tahun iaitu di antara tahun 2010 dan 2015, sumbangan perusahaan kecil dan sederhana kepada KDNK hanya meningkat sebanyak 4.4 peratus daripada 32.2 peratus kepada 36.6 peratus," katanya.

Katanya, jika sasaran tersebut ingin dicapai terdapat dua pilihan kepada Malaysia iaitu pertama, kadar pertumbuhan ekonomi perlu melepasi 6 peratus setahun dan kedua ialah struktur pengagihan melibatkan pasaran buruh, komposisi sektor ekonomi dan rantaian bekalan perlu diubah.

"Bagi kadar pertumbuhan ekonomi, strategi ini mengembangkan 'pie' tetapi adalah sukar dalam keadaan persekitaran ekonomi global tidak menentu manakala yang kedua, strategi ini mengubah pembahagian 'pie' tetapi akan memakan masa kerana perubahan melibatkan jangka masa panjang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusof yang juga pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM berkata, WKB2030 bukan suatu dasar baharu kepada Malaysia dan ia lebih terarah kepada 'penjenamaan' semula dasar terdahulu mengikut keperluan semasa.

"WKB2030 membawa agenda Pertumbuhan Dengan Pengagihan (PDP) iaitu memastikan pertumbuhan ekonomi dikongsi secara adil tanpa mengira kaum dan lokasi.

"Ini bermakna peningkatan pendapatan keseluruhan rakyat perlu seiring dengan peningkatan KDNK. Tidak seperti sekarang, peningkatan KDNK memberi kesan kecil kepada pertumbuhan pendapatan terutamanya golongan berpendapatan rendah," katanya.

Menurutnya, konsep PDP pertama kalinya dilaksanakan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum Malaysia beralih kepada dasar-dasar bersifat Pertumbuhan Dahulu, Pengagihan Kemudian (PDPK).

"PDP diperkenalkan semula di dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) kerana didapati pertumbuhan ekonomi selepas DEB tidak membawa banyak penambahbaikan kepada pengagihan. Bagaimanapun, amalan RMK-10 dan RMK-11 kembali terarah kepada PDPK.

"Kini konsep PDP diperkenalkan semula di dalam tempoh 2021-2030 melalui WKB2030 sekali gus bermakna, setiap dasar dan strategi pertumbuhan ekonomi perlu ada dan mengambil kira implikasi ke atas pengagihan," katanya yang juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!