Kulit kerang hijau tingkatkan kualiti air
JAKARTA - Sebanyak tiga tong kulit kerang hijau 'dibuang' di perairan Ancol, Indonesia semalam kerana dikatakan mampu meningkatkan kualiti air laut secara semula jadi.
Pengurus Komunikasi Korporat Pembangunan Jaya Ancol, Rika Lestari berkata, berdasarkan hasil penyelidikan dan eksperimen yang dilakukan pasukan pemuliharaan Ancol tahun lalu, 1kg kulit kerang hijau atau bahasa saintifiknya Perna viridis mampu menyaring sehingga 10 liter air dalam tempoh satu jam.
"Jadi dengan sejumlah 96kg kulit kerang hijau dapat menyaring 960 liter air laut secara semula jadi tanpa bantuan teknologi atau manusia. Sasaran kami untuk tahun ini adalah meletakkan 1,000kg kerang hijau.
"Tidak ramai yang tahu bahawa kerang hijau mempunyai keupayaan untuk menapis air kotor menjadi air bersih, jadi perlu dilakukan secara terus menerus," katanya.
Menurutnya, tiga tong kulit kerang hijau itu ditenggelamkan 2 hingga 3 meter ke dalam laut menggunakan kaedah 'kawat ram', malah ia juga menggalakkan pertumbuhan kerang hijau di perairan Jakarta.
Dengan kembalinya populasi kerang di kawasan pesisiran pantai itu memberi kesan positif terhadap peningkatan kualiti air dan kepelbagaian biologi lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!