Belanjawan 2020: Nafas mohon peruntukan RM800 juta

Phahrolrazi menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf peladang di Institut Pengurusan Peladang di sini hari ini.
Phahrolrazi menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf peladang di Institut Pengurusan Peladang di sini hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memohon agar RM800 juta diberikan kepada agensi itu menerusi Belanjawan 2020 bagi melancarkan pengagihan pembekalan input penanaman padi, tahun hadapan.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, pada tahun ini pihaknya hanya menerima peruntukan sejumlah RM420 juta yang menyebabkan peruntukan tambahan diperlukan.

Menurutnya, Nafas memerlukan peruntukan tambahan bagi melancarkan kerja-kerja pengagihan pembekalan input penanaman padi pada musim pertama dan kedua selain mengelakkan aktiviti penanaman padi terjejas untuk dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

"Kita terpaksa minta tambahan kerana bajet tahun ini hanya cukup untuk musim pertama sahaja dan tahun hadapan kita minta kerajaan memberikan sekaligus bajet untuk musim pertama dan kedua,"katanya ketika merasmikan Program Kasih Peladang Kedah di Institut Pengurusan Peladang di sini hari ini.

Menurut Phahrolrazi, perkara itu sudah diusulkan ke peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan diharapkan diluluskan menerusi Bajet 2020.

Dalam majlis berkenaan, sejumlah RM55,000 sumbangan zakat diagihkan kepada 275 asnaf peladang membabitkan 11 pertubuhan peladang kawasan (PPK).

Antaranya PPK Sungai Petani, PPK Baling, PPK Bandar Baharu, PPK Gurun, PPK Karangan, PPK Kuala Ketil, PPK Kuala Muda Selatan, PPK Sik, PPK Merbok, PPK Padang Serai dan PPK Selama.

Terdahulu pada bulan Ogos dan September, Nafas telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM148,400 kepada 742 penerima terdiri daripada asnaf peladang dan asnaf setempat di Alor Setar dan Jitra.

Artikel Berkaitan:

Program Kasih Peladang dianjurkan Nafas melibatkan 10 lokasi seluruh negara yang memberi manfaat kepada kira-kira 4,300 penerima tahun ini.

Katanya, bantuan kewangan yang disampaikan diharapkan dapat membantu meringankan kos perbelanjaan seharian serta memanfaatkan penerima dan ahli keluarga.

Antara penerima sumbangan zakat yang hadir ke Program Kasih Peladang Kedah di Institut Pengurusan Peladang, Sungai Petani.
Antara penerima sumbangan zakat yang hadir ke Program Kasih Peladang Kedah di Institut Pengurusan Peladang, Sungai Petani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!