Reman suspek bunuh gajah Pygmy disambung
TAWAU - Enam suspek dipercayai terbabit dalam pembunuhan seekor gajah Pygmy yang ditemui di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan dekat sini baru-baru ini disambung reman dua hari lagi.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata polis membuat permohonan menyambung reman itu di Mahkamah Majistret di sini selepas tempoh reman empat hari berakhir pada hari ini.
"Kesemua suspek berumur antara 48 hingga 68 tahun itu terdiri daripada lima lelaki tempatan serta seorang lelaki pendatang haram berkenaan, dibenarkan sambung reman bermula esok bagi membolehkan polis menyiapkan siasatan di bawah Seksyen 8(c) Akta Senjata Api," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Peter, apabila siasatan polis selesai, Jabatan Hidupan Liar (JHL) akan memohon untuk menahan suspek bagi siasatan kes di bawah kendaliannya pula.
Pada Rabu lepas, polis menahan kesemua suspek antara 12.20 tengah malam hingga 12.30 tengah hari dalam Ops Khazanah di kawasan Felda Umas dan Ladang Dumpas selepas dipercayai terlibat dengan pembunuhan gajah Pygmy dan pengambilan gading secara haram.
Penangkapan kesemua suspek itu turut membawa kepada rampasan lima laras senjata api termasuk tiga laras senjata buatan sendiri (bakakuk), 53 kelongsong peluru serta 59 butir peluru hidup, selain dua gading gajah yang disembunyikan di tanah kebun koperasi Felda di Felda Umas dekat sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!