[VIDEO] Kerajaan PH masih dapat sokongan rakyat: Dr Mahathir
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih lagi didukung dan dihargai rakyat.
Menurut Dr Mahathir, PH menyedari ada pihak mendakwa sokongan rakyat terhadap kerajaan menurun daripada 80 peratus kepada 38 peratus.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan keterujaan rakyat untuk terus mendekati kepimpinan kerajaan PH membuktikan sokongan mereka masih utuh.
"Bila ada satu kajian dibuat pihak tertentu yang bukan mewakili keseluruhan rakyat hanya mengambil pendapat sebilangan kecil rakyat tetapi seolah-olah mewakili keseluruhan mereka.
"Kita berpendapat ia tidak tepat kerana saya tidak tahu di mana mereka mendapat info itu.
"Tetapi yang saya tahu, saya pergi ke mana-mana ada sahaja orang hendak salam dan ambil gambar, ini bukti sokongan rakyat masih ada," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Temu Rapat Bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan Formula 2020: Selangkah ke hadapan bersama Pakatan-Warisan di The Saujana Hotel, di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Seramai 130 Ahli Parlimen PH hadir dalam sesi pemukiman itu yang turut dihadiri oleh pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan).Dr Mahathir berkata, program temu rapat itu memberi peluang kepada pemimpin Warisan untuk mendengar dan mengkritik segala keputusan atau resolusi dikemukakan kerajaan PH.
Menurutnya, program pemukiman itu juga menuntut perhatian pemimpin PH supaya dapat menjelaskan kepada wakil rakyat tentang dasar kerajaan dan perkara lain dilakukan kerajaan.
"Antaranya ialah Wawasan Kemakmuran Bersama dilancarkan sebelum ini di mana dasar baharu itu perlu difahami semua pihak bukan hanya oleh kerajaan dan wakil rakyat tetapi rakyat sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!