Wanita hamil meninggal kerana ambulans kehabisan minyak

Mangsa dilaporkan terpaksa menunggu selama 45 minit untuk bantuan ambulans lain.
Mangsa dilaporkan terpaksa menunggu selama 45 minit untuk bantuan ambulans lain.
A
A
A

NEW DELHI - Seorang wanita hamil di India meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sebuah hospital di Baripada, Odisha selepas ambulans dinaikinya kehabisan minyak.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa dibawa ke Pandit Raghunath Murmu Medical College and Hospital (PRMMCH) pada malam Jumaat lalu.

Tulsi Munda, isteri kepada Chittaranjan Munda dari perkampungan Handa mengadu sakit mahu bersalin ketika dia dihantar ke Pusat Kesihatan Komuniti Bangiriposhi.

Bagaimanapun, doktor di pusat itu memindahkannya ke PRMMCH kerana wanita itu berada dalam keadaan kritikal.

Ketika proses pemindahan itu dibuat, ambulans tersebut kehabisan minyak di pinggir bandar Baripada.

Bantuan sokongan ambulans lain hanya tiba di lokasi terbabit 45 minit kemudian.

“Apabila kami tiba di hospital kira-kira sejam selepas itu, doktor mengesahkan isteri saya sudah meninggal dunia,” kata Munda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perubatan Daerah Mayurbhanj, Pradip Kumar Mohapatra berkata, siasatan awal mendapati saluran paip minyak kenderaan itu dipercayai bocor ketika dalam perjalanan ke hospital.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan akan dilakukan untuk mengambil tindakan selanjutnya,” ujarnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!