Air mata Martinez curi tumpuan

No Image Caption
A
A
A

BUKAN kekalahan pertama Bayern Munich dalam saingan liga musim ini sahaja mencuri tumpuan peminat bola sepak Jerman, malah tangisan pemain tengah mereka, Javi Martinez menjadi tajuk perbualan hangat.

Semalam, juara Bundesliga itu dikejutkan 1-2 oleh Hoffenheim dalam perlawanan di tempat sendiri, hanya empat hari selepas mengaibkan Tottenham 7-2 pada aksi Liga Juara-Juara di London, menurut laporan Utusan Malaysia.

Bagaimanapun ‘drama’ di bangku simpanan lebih menarik perhatian peminat apabila Martinez terpaksa dipujuk oleh pengurus pasukan, Hansi Flick selepas menangis kerana tidak diturunkan oleh Niko Kovac sekali pun sebagai pemain gantian.

Pemain kelahiran Sepanyol itu gagal menahan emosi sebaik sahaja Kovac membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Thomas Mueller dan Ivan Perisic di pertengahan permainan.

Dia masih tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan sepanjang musim ini, hanya membuat lima penampilan sebagai gantian (semua pertandingan) dan secara keseluruhan sekadar beraksi selama 89 minit pada saingan Bundesliga.

Sejurus tamat perlawanan, Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidiz yang menyedari kekecewaan Martinez berkata, keputusan untuk tidak menurunkan pemain berusia 31 tahun itu hanyalah atas sebab taktikal.

“Saya percaya, ia sama sekali disebabkan persaingan yang amat sengit dalam pasukan. Saya tidak fikir ada sebab lain (Martinez disisih).

“Saya faham kekecewaan Javi. Mana-mana pemain pun akan kecewa jika tidak beraksi tetapi jurulatih membuat keputusan mengikut keperluan taktikal, jadi pemain kena terima perkara itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami masih mempunyai banyak perlawanan untuk diharungi, saya percaya Javi akan mendapat peluangnya,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Martinez enggan mengulas ketika ditanya mengenai foto yang sudah tersebar dalam media sosial yang memperlihatkan Flick terpaksa menenangkannya di bangku simpanan. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!