GST uji ego kerajaan
CADANGAN Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) supaya kerajaan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Jika kita melihat sejarah, banyak negara yang melaksanakan GST telah menyebabkan kekalahan parti pemerintah dalam pilihan raya kemudiannya. Parti yang menang tampuk pemerintahan dengan pantas membatalkan GST. Namun beberapa tahun kemudian mereka terpaksa melakukan pembetulan melaksanakannya kembali.
Mengapa perlu dilontarkan lagi idea GST ini setelah Pakatan Harapan (PH) dengan bangga dan bongkak menolak GST dan melawan arus sistem percukaian moden yang telah dilaksana di 2/3 negara dunia?
Menurut Pengerusi MIER, Tan Sri Dr Kamal Salih, GST adalah sistem percukaian yang adil dan cekap berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Namun itu bukan perkara baharu kerana ia sudah dibahas dan dibincang sejak 20 ke 30 tahun lalu. Pada hemat saya, pandangan Dr Kamal itu merupakan strategi komunikasi politik kerajaan untuk mengukur maklum balas rakyat mengenai pengenalan semula GST. Jika cadangan itu dilontarkan oleh anggota pentadbiran kerajaan maka ia akan mendatangkan kesan yang negatif.
Dr Kamal merupakan antara generasi terawal menjadi penasihat ekonomi Perdana Menteri Keempat, Tun Dr
Mahathir Mohamad pada era 1980-an dan 1990-an. Justeru, pandangan itu tidak boleh dianggap terasing daripada hasrat dan aspirasi kewangan negara.
Hasrat kerajaan untuk memperkenalkan sistem cukai yang lebih efisien juga agak jelas kerana sebelum itu, ahli panel Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram turut menyatakan sistem cukai sedia ada perlu diganti dengan sistem percukaian pintar (smart taxation).
Jomo secara terang menyatakan beliau tidak bersetuju dengan SST dan GST. Beliau dilaporkan berkata, “Saya tidak ada pandangan tentang soal ini. Saya terus membantah GST. SST sendiri mempunyai banyak kekurangan dan patut diganti dengan satu sistem percukaian pintar.”
Malangnya sistem percukaian pintar masih belum ada wajah dan struktur untuk dilaksanakan berbanding keperluan kewangan negara. Malahan Jomo sendiri tidak mempunyai idea yang konkrit mengenai apa yang beliau katakan percukaian pintar. Ia masih sekadar dalam pemikiran seorang ahli ekonomi yang bergelut dengan naratif ekonomi dunia hari ini.
Menurunkan egoHasrat kerajaan itu diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Dr Mahathir kemudiannya yang berkata, kerajaan sedia mengkaji semula pelaksanaan GST jika dipersetujui rakyat. Dengan kata lain, kerajaan mengakui kepentingan GST tetapi enggan menurunkan ego mereka.Pelaksanaan semula GST itu perlu diberi perhatian serius kerana kerajaan berhadapan dengan kekurangan sumber pendapatan berbanding belanja pengurusan dan kebajikan.
Apa yang berlaku selepas pemansuhan GST ialah tiada satu barang pun turun harga secara drastik seperti yang didakwa sebelum ini. Rakyat masih mengalami kenaikan kos sara hidup, membayar cukai antara 6 peratus hingga 16 peratus dalam bentuk SST. Yang berbeza hanyalah kutipan hasil kerajaan berkurangan dan tiada lagi ketelusan dalam transaksi runcit.
Dilema PH ialah mereka mendapat kuasa dengan mengatakan GST satu rejim cukai yang zalim dan menindas rakyat. Mereka juga mendakwa negara ini tidak memerlukan GST kerana mempunyai sumber hasil yang mewah untuk menampung kewangan negara.
Pengenalan semula juga akan menyebabkan satu lagi kitaran ganas inflasi akibat GST. Keadaan inflasi negara sepatutnya sudah stabil dan terkawal kerana GST sendiri merupakan mekanisme mengawal inflasi dalam jangka panjang.
Malangnya kerajaan mengambil keputusan memansuhkan terus dan bukannya menurunkan kadar seperti mana yang dicadangan oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional selepas pilihan raya lalu. Akibatnya negara kekurangan hasil. Banyak bantuan dan program kebajikan dikurangkan secara mendadak.
Kerajaan juga terpaksa menjual bon samurai bagi menampung keperluan kewangan negara. Kekhuatiran masyarakat perniagaan jika kerajaan terus berbelanja dengan bergantung kepada penerbitan bon, maka kewangan negara berada dalam kedudukan yang rapuh dan tidak stabil.
Mungkin sudah tiba kerajaan mempertimbangkan secara serius cadangan ini dan mengetepikan ego elit politik PH yang masih enggan mengakui kesilapan mereka menghapuskan GST.
Salah satu cara menutup malu mungkin dengan cara memperkenalkan semula GST tetapi memberi rebat cukai pendapatan yang tinggi kepada kumpulan berpendapatan bawah RM10,000 sebulan. Apa pun ruyung perlu dipecahkan jika mahu menuai sagunya.
***Abd Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!