Subsidi bersasar jangan tersasar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengumumkan program subsidi bersasar bagi minyak petrol RON95 yang sebelum ini dicadangkan untuk dilaksanakan pada Julai tahun ini tetapi ia ditangguhkan.

Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada November tahun lalu menyatakan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Sudah tentu pengumuman itu amat ditunggu oleh rakyat kerana subsidi yang bakal diterima itu, walaupun kecil nilainya namun ia tetap subsidi dan diharap dapat mengurangkan beban kos sara hidup.

Menurut sumber, penerima adalah mereka dalam senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki kenderaan berdaftar dan kira-kira dua juta orang layak menerima subsidi berkenaan.

Program subsidi petrol bersasar itu juga akan dibayar secara tunai terus ke dalam akaun bank penerima yang layak, bukan menggunakan kad subsidi seperti yang dikatakan sebelum ini. Kaedah itu bagi mengelakkan ketirisan.

Program yang sepatutnya diumumkan pada suku kedua tahun ini seperti dinyatakan sebelum ini mengambil masa kerana beberapa isu antaranya ialah pengumpulan data yang memerlukan penelitian seperti silang semak, data BSH dan data daripada pelbagai agensi serta jabatan berkaitan.

Malah Saifuddin turut mengakui bahawa menguruskan subsidi memang sesuatu yang rumit dan kompleks. Kementerian juga perlu membuat kajian yang teliti dan libat urus dengan pemegang taruh, syarikat pembekal petrol, syarikat kewangan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kepenggunaan.

Artikel Berkaitan:

Paling penting ialah memastikan Subsidi Bersasar itu tidak tersasar atau disalahgunakan. Ini kerana subsidi yang sepatutnya dinikmati oleh golongan sasar, tidak sepenuhnya diterima oleh golongan tersebut.

Selain melaksanakan subsidi minyak, kerajaan juga akan mengapungkan semula harga RON95 di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) secara gradual bagi membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Rakyat menaruh harapan yang tinggi untuk melihat masalah kos sara hidup dapat ditangani dengan efisien walaupun secara berperingkat-peringkat, bagi menjamin kebajikan dan kualiti hidup rakyat, bertepatan sasaran untuk membantu golongan berpendapatan rendah B40.

Sudah tentu, rakyat berharap agar subsidi bersasar ini tidak hanya kepada golongan B40 tetapi turut menimbangkan golongan M40 yang turut terkesan dengan peningkatan kos ekonomi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!