600 ahli keluarga Sutan Amir Kaharuddin Budiman Pagaruyung berkumpul
PASIR MAS - Jarak tidak menjadi penghalang kepada 600 ahli keluarga Sutan Amir Kaharuddin Budiman Pagaruyung yang berkumpul pada majlis Tautan Kasih di Chetok di sini kelmarin.
Setiausaha Pertubuhan Persaudaraan Tok Diman Chetok, Che Abdul Rahman Yusof berkata, kesemua mereka datang dari seluruh negara termasuk Makkah.
Menurutnya, pertemuan itu dihadiri paling ramai ahli keluarga selepas beberapa majlis yang dianjurkan sebelum ini.
"Peluang yang diberikan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mengeratkan hubungan yang sedia terjalin," katanya.
Majlis Tautan Kasih Keluarga Sutan Amir Kaharuddin Budiman Pagaruyung dirasmikan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Persaudaraan Tok Diman Chetok, Datuk Muhamad Fadzil Ramly.
Program tersebut mendapat kerjasama daripada Syarikat Che Mas & Sons Sdn Bhd yang turut meraikan sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 Pengarah Urusannya, Jaafar Harun.
Che Abdul Rahman juga terharu dengan komitmen ditunjukkan oleh ahli keluarga yang sanggup meluangkan masa hadir sekali gus membuktikan hubungan erat dalam kalangan ahli keluarga.
"Kami ketepikan semua komitmen kerana bukan mudah untuk berkumpul pada majlis seperti hari ini (semalam)," katanya.
Che Abdul Rahman turut berharap majlis berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang kerana pertemuan itu adalah platform terbaik mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!