Hilangkan keresahan peneroka Felda
KUANTAN - Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini perlu mengambil kira kebajikan warga peneroka secara keseluruhannya.
Setidak-tidaknya ‘buah tangan’ yang bakal diterima peneroka melalui Belanjawan 2020 itu boleh memberi sedikit kelegaan kepada golongan tersebut selepas berdepan dengan pelbagai isu yang menekan kehidupan mereka selama ini.
Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah berkata, pembentangan bajet itu pasti amat dinantikan dengan penuh minat warga Felda di seluruh negara dan amat diharapkan agar ada khabar gembira buat golongan tersebut.
Menurutnya, selain khabar gembira untuk warga peneroka, kerajaan juga perlu pastikan golongan generasi baharu Felda turut ada bahagian dalam belanjawan itu nanti.
“Dalam keadaan harga komoditi sawit dan getah yang tidak menentukan ketika ini, Belanjawan 2020 menjadi satu harapan buat warga peneroka di seluruh negara yang mungkin menanti insentif-insentif kerajaan dalam menangani isu tersebut.
“Mereka mahukan kerajaan sentiasa bertindak pantas menyelesaikan perkara ini agar semua pihak dapat berganding bahu membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Asrullah Affendi berkata, generasi baharu Felda juga amat berharap supaya kerajaan menyediakan bajet untuk mereka terutama berkaitan perumahan.
“Pembangunan projek perumahan generasi baharu Felda yang terbengkalai perlu diteruskan supaya masalah ini tidak menjadi bebanan kepada semua pihak kerana ia sudah lama tertangguh dengan pelbagai masalah birokrasi dan pelaksanaannya.
“Kami warga Felda berharap isu hutang negara tidak dijadikan alasan oleh kerajaan dalam merangka Belanjawan 2020 ini sebaliknya tanggung jawab kepada rakyat perlu diberi keutamaan.
“Bagi memastikan gerakan generasi baharu Felda berada pada tahap terbaik, penyediaan bajet pentadbiran, pengurusan dan pelaksanaan aktiviti pada semua peringkat perlu diteruskan dan diberi penambahbaikan yang mampu memberikan keupayaan kepada golongan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!