‘Darul Rizuan’ dari Perak

Darul Rizuan menunjukkan Mykad yang tertera nama sebenarnya.
Darul Rizuan menunjukkan Mykad yang tertera nama sebenarnya.
A
A
A

SEBUT sahaja namanya orang ramai sudah boleh teka susuk tinggi lampai lelaki berusia 30 tahun ini berasal dari negeri mana.

Nama Muhamad Darul Rizuan Mohd Sharif hampir sama dengan nama Perak Darul Ridzuan yang berbeza pada ejaan sahaja.

Beliau yang merupakan anggota polis berpangkat Koperal yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak merupakan anak jati Perak dari Batu Kurau.

Menurutnya, namanya itu merupakan rasa cinta dan rindu kedua ibu bapanya terhadap negeri asal setelah merantau lebih 20 tahun di Pahang.

“Ayah bekerja sebagai anggota polis di Kampung Awah, Temerloh dan ibu bapa saya berasal dari Batu Kurau. Lebih 20 tahun bertugas, mereka mahu sangat pulang berbakti di Perak.

“Sebab itu, nama saya diletakkan Darul Rizuan ketika dilahirkan sedangkan nama abang dan kakak saya biasa-biasa sahaja. Itu yang diceritakan oleh ibu saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Katanya, hasrat bapanya untuk kembali ke kampung halaman akhirnya tercapai apabila dapat dipindahkan ke Balai Polis Selat Pagar, Gerik ketika usianya mencecah tujuh tahun.

Mudah diingati

Artikel Berkaitan:

Darul Ridzuan yang lebih dikenali sebagai Acong dalam kalangan rakan sekerja merasa bangga apabila namanya mudah diingati.

“Sejak dari sekolah rendah hingga melanjutkan pelajaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM), ramai yang cakap nama saya unik.

“Setiap kali perkenalkan diri, memang mereka dapat teka saya berasal dari Perak. Perkara itu acap kali saya hadapi,” katanya.

Katanya, kadangkala namanya disangkakan sebagai nama sebuah sekolah di Aulong, Taiping.

Darul Rizuan bersama isterinya, Mukhaliza.
Darul Rizuan bersama isterinya, Mukhaliza.

“Ketika mengedarkan kad kahwin, ada rakan isteri menyangkakan kami silap cetak apabila mereka sangkakan nama saya adalah nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ridzuan," katanya.

Menurutnya, perkataan Darul Ridzuan turut ada pada bangunan dan lebih bermakna pada lagu negeri dengan bait ‘Allah berkati Perak Ridzuan’ yang turut mendoakan kesejahteraannya.

“Sudah semestinya ketika berdiri menyanyikan lagu ini pasti rakan-rakan tunjuk ke arah saya bila tiba pada lirik itu,” katanya.

Nama: Muhamad Darul Rizuan

Mohd Sharif

Tarikh: 10 Mac 1989

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam, UUM

Asal: Batu Kurau, Perak

Profesion: PDRM (11 tahun)

Nama isteri: Mukhaliza Mahamad

Anak: Nur Erina Hanani, 5 tahun dan Nur Elisa Hanani, 10 bulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!