Nga Kor Ming dipanggil ke Bukit Aman
KUALA LUMPUR - Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming akan dipanggil ke Bukit Aman esok untuk direkod keterangan berhubung siasatan terhadap pemilik akaun Facebook, Nga Kor Ming Super Fans Page kerana memuat naik kenyataan berbaur menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.
"Kes ini masih dalam siasatan dan tindakan lanjut akan dikemukakan kepada pihak Peguam Negara.
"Kita akan panggil Nga Kor Ming esok ke Bukit Aman untuk proses merakam percakapan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Simposium Sains Forensik Untuk Agensi Penguatkuasa di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Terdahulu, PDRM mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook terbabit.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan sebelum ini memaklumkan satu laporan bersama bukti akan diserahkan kepada polis selepas mendakwa wujud konspirasi politik jahat yang cuba mencemar nama baiknya dan DAP.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi perkongsian di Facebook menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan terhadap Kor Ming kerana mengajak orang Cina yang tidak berpuas hati membuat bantahan terhadap Sultan Selangor.
Bagaimanapun, Kor Ming menerusi satu kenyataan menafikan beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran menghasut itu dan mendakwa akaun berkenaan adalah palsu.
ARTIKEL BERKAITAN: Kor Ming minta Najib taubat, henti sebar berita palsu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!