Solskjaer kecewa Red Devils kalah lagi
BOS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui sangat kecewa selepas melihat pasukannya tumpas 0-1 di tangan Newcastle United pada aksi kelapan Liga Perdana Inggeris di St James Park malam tadi.
Jaringan tunggal The Magpies oleh Matthew Longstaff pada babak kedua itu turut meningkatkan tekanan kepada United yang kini terperosok di kedudukan ke-12 carta liga untuk menamatkan saingan di kelompok enam pasukan terbaik setelah ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu Liverpool.
Solskjaer yang kecewa dengan keputusan perlawanan itu turut mengakui ketiadaan beberapa tonggak utamanya seperti Anthony Martial, Paul Pogba dan Jesse Lingard turut merencatkan aksi mereka, namun ketua jurulatih berusia 46 tahun itu enggan menjadikannya sebagai alasan.
"Sudah tentu kami sangat kecewa. Para pemain telah bekerja keras tetapi pada saat ini kami berada dalam posisi yang kurang baik. Malah beberapa pemain juga dilihat kurang fokus dan tiada keyakinan diri sepanjang perlawanan ini dan anda dapat melihatnya sendiri.
"Kami tidak mampu menciptakan peluang yang cukup untuk memenangi perlawanan ini dan ia sangat mengecewakan," jelasnya.
Mengulas tempoh realistik untuknya mengembalikan prestasi kelab, Solskjaer berkata, beliau tidak boleh memberikan tempoh masa tersebut sebaliknya optimis mereka mampu menanganinya pada suatu masa nanti.
"Kami sentiasa mencabar diri untuk berada dalam kedudukan empat terbaik, bagaimanapun saya rasa kita perlu lebih realistik untuk berada di kelompok enam pasukan terbaik.
“Jadi kami perlu berusaha bersama-sama dan mendapatkan semula keyakinan pasukan untuk mencapai ke destinasi kami. Walaupun ia amat mengecewakan ketika ini, tetapi kami tahu di mana kami perlu berada di penghujung saingan nanti.” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!