Azmin yakin rakyat masih percaya, sokong PH
KUALA LUMPUR - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin rakyat masih berpegang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun kaji selidik Merdeka Center mendapati populariti PH merudum 35 peratus.
Menurutnya, laporan itu hanyalah kaji selidik dan beliau enggan mengambil serius kajian sebegitu.
"Itu hanya tinjauan. Kami sentiasa menggunakan kaji selidik ini sebagai panduan mengenai isu dan sentimen rakyat dan isu-isu tertentu.
"Tetapi secara keseluruhan, saya yakin rakyat (masih) percaya PH adalah kerajaan yang betul dan mereka akan terus menyokong (kami)," katanya di lobi Parlimen hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai keputusan kaji selidik oleh Merdeka Center yang tidak memihak kepada PH.
Untuk rekod, peratusan itu merupakan kadar populariti terendah yang pernah direkodkan sejak PH mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.
Memetik laporan Malaysiakini, PH meraih populariti 87 peratus semasa merampas Putrajaya pada Mei tahun lalu dan peratus itu mula merudum sehingga 35 peratus.
Menurut laporan itu lagi, berdasarkan statistik Merdeka Center, setakat Ogos populariti PH dalam kalangan pengundi Cina dan India jatuh ke 41 peratus manakala 30 peratus pengundi Melayu masih menyokong gabungan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!