'Plastik bukan musuh'
TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menyatakan pendirian berbeza dengan mempertahankan plastik walaupun dunia sedang berusaha untuk menyekat penggunaannya kerana bimbang kesannya terhadap alam sekitar.
"Kita tidak boleh buat plastik seperti 'musuh' dan tidak halang orang ramai menggunakannya. Apa yang kita perlukan adalah pengurusan sampah yang sesuai dan mencari jalan penyelesaian menerusi inovasi," katanya ketika berucap di Forum Sains dan Teknologi Masyarakat di Kyoto semalam.
Ketika disoal tentang ikrar dibuat anggota G20 ketika sidang kemuncak di Osaka pada Jun lalu untuk menangani masalah sisa plastik yang kini mencemari lautan, Abe berkata, ia telah menjelaskan kepentingan plastik dalam masyarakat.
"Kita sepatutnya bangga dengan beberapa penemuan pada abad ke-20. Plastik adalah salah satu daripadanya dan jika ia tidak wujud, kita tidak dapat membungkus makanan segar dalam bentuk mudah untuk dipasarkan," katanya.
Jepun adalah pengeksport ketiga terbesar sisa plastik dan pengguna plastik per kapita kedua terbesar di dunia di belakang Amerika Syarikat.
Menjelang tahun 2021 penyedut minuman plastik dan plastik sekali guna akan dilarang di Kesatuan Eropah menjelang 2021 malah India turut melancarkan kempen sama pada awal bulan lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!