Terserah Petronas putuskan tawaran Saudi Aramco

Dr Mahathir bercakap pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Mahathir bercakap pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, terserah sepenuhnya kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk memutuskan sama ada mahu mengambil bahagian dalam tawaran awam permulaan (IPO) Saudi Aramco.

Saudi Aramco dikatakan telah menghubungi beberapa pengeluar minyak utama nasional Asia termasuk Petronas berhubung potensi pelaburan utama dalam IPO syarikat tersebut.

“(Ia) bergantung kepada Petronas. Bukan saya (yang akan memutuskannya),” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada kerajaan mahu melihat Petronas menyertai dalam IPO Saudi Aramco.

Pada 2 Oktober, Petronas berkata, ia masih belum menerima sebarang tawaran untuk menjadi pelabur utama berpotensi dalam IPO tersebut.

“Setakat ini Petronas masih belum menerima sebarang tawaran daripada Saudi Aramco atau wakil dilantiknya untuk menjadi pelabur utama berpotensi dalam cadangan IPO itu,” kata syarikat minyak tersebut.

Dilaporkan bahawa Saudi Aramco dan penasihatnya telah menghubungi beberapa pelabur berpotensi termasuk China National Petroleum Corp dan entiti milik negara dari Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait serta dana pencen Kanada. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!