Larangan doa: Polis rakam keterangan enam individu

Narenasagaran
Narenasagaran
A
A
A

GEORGETOWN - Polis telah merakam keterangan enam individu termasuk pihak Sekolah Rendah Kebangsaan (Perempuan) Methodist Pulau Pinang berhubung dakwaan larangan bacaan doa pada Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar Tahun 2019 bulan lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, selain pihak sekolah, polis turut mengambil keterangan daripada individu yang berada dalam majlis yang diadakan di sebuah kolej pada 27 September lalu.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya menerima 10 hingga 15 laporan berhubung perkara tersebut.

"Sehingga kini enam individu dipanggil dan dirakamkan percakapan iaitu mereka yang hadir dan pihak sekolah. Bagaimanapun kita akan memanggil beberapa individu lagi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Perkara ini masih dalam siasatan dan setelah kertas siasatan siap kita akan majukan kepada Ketua Unit Pendakwaan Pulau Pinang untuk mendapatkan pandangan," katanya pada sidang media selepas program Penang Heart Safe with PDRM di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Terdahulu Kementerian Pendidikan (KPM) memberi peringatan tegas kepada pentadbir Sekolah Rendah Kebangsaan (Perempuan) Methodist Pulau Pinang kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pendidikan.

Pentadbir sekolah itu diberi peringatan itu atas kesalahan larangan bacaan doa pada Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar Tahun 2019.

Bagaimanapun minggu lalu Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan bahawa tiada slot untuk bacaan doa pada majlis anugerah kecemerlangan pelajar sekolah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata, majlis anugerah yang diadakan di sebuah kolej itu hanya menyediakan slot untuk penyampaian ucapan perpaduan kepada tetamu yang hadir.

Menurutnya, tuduhan bahawa berlakunya larangan bacaan doa Islam pada majlis tersebut merupakan fitnah pihak tidak bertanggungjawab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!