Dasar Kraf Tangan Negara manfaatkan 20,000 pemain industri
KUALA TERENGGANU - Kerajaan sedang merangka Dasar Kraf Tangan Negara bagi memastikan pembangunan dan kelestarian industri kraf tempatan berupaya mendepani cabaran semasa, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 20,000 pemain industri itu.
Ketua Pengarah Kraftangan, Ibrahim Ismail berkata, dalam penyediaan dasar itu, pihaknya mengadakan sesi libat urus bersama usahawan kraf di setiap negeri bermula di Sabah dan akan berakhir di Kelantan esok bagi mendapatkan input dan maklum balas.
"Ukiran kayu, batik, songket, logam, keris dan parang dikenal pasti antara industri yang terjejas akibat kemasukan produk dari negara jiran dan kerajaan akan berusaha mengatasi masalah itu termasuk saranan supaya kajian import barangan itu dibuat.
“Larangan import batik sudah ada, kita mungkin akan kembangkan lagi dalam bidang kraf lain. Contoh keris dan parang, sekarang orang ambil bilah keris dan mata parang dari Indonesia, harganya murah. Ukiran kayu juga begitu dan songket, sudah jelas banyak datang dari India dan Pakistan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Libat Urus Bersama Usahawan Kraf Negeri Terengganu anjuran Kraftangan Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Chendering, hari ini.
Menurutnya, kraf tangan harus ambil langkah dalam merangka dasar untuk tentukan dasar import produk kraf ini kerana satu dasar dan definisi jelas perlu ada sebagai rujukan kastam untuk halang kemasukan namun ia juga tertakluk kepada hubungan dua hala negara.
“Kita akan bincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk diambil pandangan mereka apa yang perlu dibuat, mungkin ada kaedah lain supaya benda itu tidak boleh masuk dengan mudah. Kita tak boleh halang terus kerana kita juga ada eksport barang ke negara jiran,” katanya.
Ibrahim berkata, Dasar Kraf Tangan Negara yang melalui beberapa proses diuruskan oleh jawatankuasa khas akan dimuktamadkan pada tahun depan sebelum dibawa kepada Kabinet untuk diluluskan.
“Malaysia memerlukan dasar dan tekad yang didorong oleh semangat kemakmuran bersama untuk melonjakkan industri kraf negara ke tahap pertumbuhan ekonomi lebih tinggi.
“Dasar ini diharap dapat menggalakkan kemajuan dan pertumbuhan industri kraf, menjaga dan melindungi kepentingan usahawan serta industri kraf, mengatasi masalah ketidakseimbangan yang wujud dan mengekalkan seni warisan kraf tempatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!