Tampar, pijak isteri sebelum ugut bakar rumah
SETIU - Hanya kerana perselisihan faham kecil, seorang lelaki tergamak menampar dan memijak isterinya sebelum mengugut mahu membakar rumah didiami mereka di Permaisuri di sini kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa berusia 27 tahun berada di rumah sebelum berlaku perselisihan faham dengan suaminya, 30-an.
Menurut sumber, pasangan itu pada awalnya sekadar bertikam lidah sebelum suspek yang gagal mengawal perasaan marah bertindak menampar sebelum memijak wanita itu yang jatuh selepas ditampar dengan kuat.
"Masih tidak berpuas hati, suspek mengeluarkan kata-kata ugutan yang dia mahu memukul mangsa menggunakan sebatang kayu sebelum keluar meninggalkan rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Kata sumber, masih tidak berpuas hati, suspek dikatakan mengamuk sebelum memaksa mangsa yang pergi ke rumah mertuanya (ibu suspek) balik segera kira-kira jam 2.30 petang.
"Keengganan mangsa mengikut suspek menyebabkan lelaki itu mengugut mahu membakar rumah sebelum suspek beredar tidak lama kemudian.
"Beberapa minit kemudian, suspek menghantar gambar menunjukkan pakaian yang sedang dibakar di belakang rumah sambil mengugut mahu membakar rumah jika mangsa enggan pulang ke rumah segera.
"Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri membuat laporan di Balai Polis Permaisuri kelmarin untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!