IKEA di China tarik balik 8,539 lapik dada bayi
BEIJING - Gergasi kelengkapan perabot rumah IKEA menarik balik sebanyak 8,539 lapik dada bayi Matvra yang diimport ke China berikutan terdapat potensi bahaya tercekik, lapor agensi berita Xinhua.
Lapik yang mempunyai butang, berwarna biru serta merah itu dikeluarkan antara 1 Januari hingga 13 September, menurut IKEA dalam satu kenyataan.
Setakat ini dua kes butang tertanggal dilaporkan di negara asing tetapi tidak menyebabkan kecederaan.
Syarikat itu menggesa semua pelanggan yang membeli produk itu berhenti menggunakannya dan mengembalikan semula ke IKEA untuk mendapatkan gantian atau bayaran balik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!