Mayat bekas pembuat roti ditemui selepas lapan tahun
SENDEN - Mayat seorang bekas pembuat roti ditemukan secara tidak sengaja selepas lapan tahun susulan satu kebakaran di blok apartmennya di Jerman.
Mayat Heinz H, dilaporkan berusia 59 dan bangkai anjingnya yang dipercayai mati akibat kebuluran ditemui di dalam sebuah apartmen di Senden, Jerman pada 20 September lalu.
Difahamkan, anggota bomba yang mengetuk pintu rumah setiap penduduk untuk memindahkan mereka ke tempat selamat susulan satu kebakaran bertindak memecah masuk kediaman lelaki itu apabila tiada sebarang respons diterima.
Siasatan lanjut mendedahkan, peti surat mangsa penuh sejak lapan tahun lalu dan keretanya masih terletak di kawasan parkir blok apartmen berkenaan.
Kali terakhir Heinz dilihat masih hidup ialah pada tahun 2011.
Seorang jiran mangsa, Angelika Havener berkata, dia pernah menghubungi pelbagai pihak berkuasa selepas menyedari bau aneh, namun tiada sebarang tindakan susulan diambil.
"Dia seorang jiran yang baik. Heinz memberitahu saya dia berhenti menjadi pembuat roti kerana mengalami alahan terhadap debu tepung," kata Havener yang kadang-kala memberi makanan kepada mangsa.
Sementara itu, seorang lagi jiran menyangka mangsa yang telah berpisah dengan isterinya itu tinggal bersama rakannya di tempat lain.
Pihak polis kini menjalankan siasatan berhubung kes terbabit. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!