Tuah nasib empat beranak
SEREMBAN - Nasib empat beranak yang selama ini tinggal dalam keadaan daif akhirnya terbela apabila mereka terpilih sebagai penerima bantuan baik pulih rumah di bawah program IJM Land Home Rehabilitation Programme (myHome).
Penerima, Shamsul Kamarudin, 42, ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka terpilih menduduki kediaman lebih selesa dan menyifatkan bantuan tersebut sangat bermakna apatah lagi dengan bantuan baik pulih di bahagian bumbung, dapur dan tandas yang lebih sempurna untuk kegunaan dua anak kembarnya berstatus orang kurang upaya (OKU).
"Saya berterima kasih kepada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) yang memilih rumah saya sebagai penerima bantuan baik pulih melalui myHome IJM Land. Sangat besar bantuan yang diterima ini," katanya selepas Majlis Penyerahan Rumah Projek ‘House Build’ di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon dan Pengurus Besar Kanan (Wilayah Tengah) IJM Land Berhad, Datuk Hoo Kim See.
Program yang diperkenal IJM Land Berhad sejak 1dekad lalu itu sudah membantu 10 keluarga berpendapatan rendah membabitkan nilai bantuan antara RM20,000 hingga RM30,000.
Sementara itu, Nicole Tan berkata, seramai 26,000 penerima bantuan JKM direkodkan termasuk Shamsul yang menerima RM700 sebulan selain bantuan Baitulmal berbentuk lampin dan susu khas untuk anak kembarnya yang menghidap penyakit Cerebral Palsy.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!