Isu GST, #BoycottMalaysia dijangka hangatkan Dewan Rakyat

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hala tuju kerajaan mengenai cadangan pelaksanaan semula sistem percukaian GST antara tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam aturan mesyuarat yang dikeluarkan laman web Parlimen, hala tuju itu adalah soalan pertama yang terkandung pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri yang dikemukakan Ma'mun Sulaiman (PH-Kalabakan) dan dijangka dijawab Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, turut mencuri tumpuan adalah soalan kedua daripada Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH- Lembah Pantai) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian Malaysia terhadap kempen #BoycottMalaysia yang dilancarkan oleh rakyat India di laman sosial Twitter, sebagai respon kepada ucapan Dr Mahathir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini.

Bagi sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pula, soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) turut dijangka mencuri perhatian apabila meminta Menteri Kesihatan menyatakan langkah dan usaha dilakukan oleh kementerian dalam usaha mengatasi masalah kesesakan di wad-wad hospital Kerajaan yang ketika ini dianggap kritikal.

Soalan dari Noor Amin Ahmad (PH-Kangar), tidak kurang menariknya apabila meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimanakah kerajaan menentukan sama ada wujud keperluan untuk pemerolehan kerajaan dibuat secara runding terus.

Dalam pada itu, dua rang dijadual dibentang pada hari yang sama untuk bacaan kali pertama melibatkan Perbekalan 2020 dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!