Ke manakah hala tuju graduan kita?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISU graduan menganggur kerap diperkatakan dan sewajarnya menjadi agenda utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui jabatan pengajian tinggi (JPT), institusi pengajian tinggi (IPT) dan negara.

Ada banyak faktor yang menyumbang kepada isu ini dan di sini beberapa faktor yang wajar diberi perhatian serius oleh KPM dan IPT khususnya IPTA.

Perbetulkan laporan kajian tracer study yang dibuat oleh semua IPT setiap kali konvokesyen.

Kajian itu bertujuan mengetahui sama ada pelajar yang bergraduasi itu sudah bekerja atau sebaliknya iaitu dalam tempoh enam bulan ke setahun selepas tamat pengajian.

Kajian itu baik tetapi ada kelemahan ketara iaitu mengambil kira semua pekerjaan walaupun ia tidak setara dengan kelayakan pelajar. Kesan daripada corak laporan itu menyebabkan KPM melaporkan kadar employability pelajar IPT sekitar 80 peratus.

Jika KPM dan IPT serius, perbaiki kaedah pengukuran iaitu dengan ambil kira pekerjaan setara dengan kelayakan atau ijazah sahaja bukannya pendekatan semasa iaitu asal bekerja sahaja.

Sebahagian besar program akademik di IPT gagal mempersiapkan pelajar dengan ilmu diperlukan industri. Kelayakan akademik tidak seimbang dengan keperluan industri.

Tidak dinafikan adanya pensyarah yang hebat ilmunya iaitu ilmu teori dan amali. Sangat bertuah pelajar yang berkesempatan mengikuti kuliah mereka.

Artikel Berkaitan:

Namun, ramai pensyarah yang kurang mahir. Kebanyakan mereka mempunyai PhD tetapi tidak kompeten untuk mengupas ilmu itu dan mengaitkannya dengan agenda industri, nasional, serantau, antarabangsa dan sejagat.Terdapat juga pensyarah yang mengecewakan pelajar kerana tidak kompeten mengendalikan kuliah dengan baik.

Dari segi pelajarnya, memang terdapat kelompok pelajar yang sangat dinamik dan berpotensi. Kelompok itu tiada masalah untuk belajar dan mendapatkan pekerjaan yang baik setimpal dengan kelulusan mereka.

Namun sejumlah besar pelajar berada dalam kelompok kurang kompetitif dan kurang keyakinan diri juga berpotensi dimajukan jika mereka memperoleh pensyarah yang kompetitif.

Kelompok terakhir ialah kelompok pelajar yang benar-benar bermasalah. Selalunya mereka mempunyai masalah sikap yang ketara. Jumlah mereka tidak besar tetapi perlu diberi perhatian.

Bagi segmen industri pula, memang benar ada syarikat-syarikat yang rapat dengan universiti tetapi peratusannya kecil.

Dengan kata lain, industri atau syarikat-syarikat itu tidak adil apabila sering menyalahkan universiti dengan tuduhan gagal membekalkan pelajar kompeten.

Persoalannya mengapa industri atau syarikat-syarikat itu tidak jujur dengan mengikat MoU dan MoA bersama IPT dan membuat unjuran sebenar jumlah tenaga kerja diperlukan daripada IPT.

Malahan, kerjasama boleh diolah agar setiap kali cuti semester, pelajar buat latihan industri di syarikat-syarikat tersebut.

Terdapat lebih 2,000 buah syarikat di Bursa Malaysia dan ratusan ribu lagi yang tidak tersenarai, pastinya mereka ini perlu dibawa bersama secara komprehensif dan sistematik dalam agenda pembangunan modal insan negara.

Ekonomi lembap

Isu pengangguran atau bekerja tetapi tidak bertepatan dengan kelayakan akademik berlaku dengan ketara di kala ekonomi sesebuah negara lembap.

Kerajaan sewajarnya perlu lebih agresif membangunkan model baharu ekonomi negara. Hari ini, hala tuju ekonomi negara tidak jelas. Pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik terus menguncup.

Sehubungan itu, KPM, IPT dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan kementerian berkaitan perlu merangka kerjasama strategik dengan syarikat antarabangsa dan negara luar di mana usaha mengeksport graduan ke pasaran kerja antarabangsa dapat dilakukan dengan jumlah besar dan signifikan.

Pendedahan ke luar negara ini akan membawa banyak kebaikan kepada mereka yang terlibat dan juga kepada negara apabila mereka kembali ke Malaysia.

Sasaran pemasarannya wajar berfokus ke negara maju dan sedang membangun. Namun, graduan berkaitan perlu kompetitif, IPT dan pemain industri di Malaysia pula perlu bekerjasama mempersiapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran mantap.

Kepimpinan KPM dan IPT perlu membangunkan model pendidikan baharu sesuai dengan perkembangan dunia pendidikan tinggi, industri dan kemanusiaan.

***Prof Dr Haim Hilman Abdullah ialah pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!