Belanjawan 2020: Pembangunan asas orang asli perlu diberi tumpuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOAM) berharap kerajaan akan menumpukan kepada pembangunan asas melibatkan masyarakat peribumi di negara ini melalui Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Pengerusinya, Tijah Yok Chopil berkata, projek pembangunan asas seperti menyediakan kemudahan air bersih, menaik taraf klinik desa dan membaiki jalan raya harus diberi keutamaan selain penyediaan benih dan baja supaya masyarakat itu dapat menjalankan aktiviti pertanian bagi menjana pendapatan.

"Tumpukan pada bajet pembangunan sebab pembangunan orang asli masih jauh ketinggalan banyak kampung jalannya rosak, tiada jalan tar, projek terbengkalai dan sebagainya.

"Program seperti sukaneka dan motivasi yang dianjurkan sebelum ini harus dihentikan, ia bukan tidak bagus tetapi dengan keadaan ekonomi negara sekarang kita harus tumpu kepada pembangunan asas orang asli dahulu," katanya.

Tijah turut mencadangkan agar badan pemantau ditubuhkan bagi memantau bajet yang akan diperuntukkan kepada orang asli tahun hadapan supaya ia dapat ditadbir urus dengan baik.

Sementara itu Presiden Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MBOAM), Clive Allen Williams Hunt berkata, dalam memastikan pembangunan yang harmoni dalam kalangan masyarakat orang asli kesemua aspek antaranya ekonomi, kesihatan dan budaya harus diberi perhatian.

Menurutnya, perkhidmatan pembantu perubatan dalam kalangan belia orang asli perlu diwujudkan semula selain melantik mereka bagi mengisi jawatan di semua peringkat sama ada secara tetap atau kontrak.

"Inisiatif ini dilihat berkesan, kerana masyarakat orang asli dapat menyampaikan maklumat kesihatan menggunakan bahasa suku kaum mereka sendiri...kadang-kadang kita guna bahasa asing mereka kurang faham," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, penyediaan dana khusus harus diperuntukkan bagi latihan dan pembangunan sumber manusia belia orang asli melibatkan aspek keusahawanan, industri, kemahiran, teknologi dan profesional.

"Dana ini boleh diurus tadbir oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli dan disalurkan kepada pertubuhan belia bagi tujuan penganjuran dan pelaksanaan program pembangunan tersebut," katanya.

Beliau berkata, MBOAM turut berharap program latihan dan pembangunan kepada orang kurang upaya dalam kalangan masyarakat peribumi itu untuk memperluaskan punca pendapatan turut diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2020. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!