Lombong emas haram di Hutan Simpan Tersang diserbu
KUANTAN - Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) menemukan pelbagai peralatan melombong emas secara haram dalam Hutan Simpan Tersang, Raub kelmarin.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, penemuan alatan melombong itu sekali gus menggagalkan usaha sekumpulan individu yang giat menjalankan aktiviti tersebut.
Menurutnya, Unit Penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub telah menjalankan rondaan pencegahan kegiatan perlombongan dan pembalakan haram dalam kawasan hutan simpan berkenaan selepas mendapat aduan daripada orang awam.
“Mereka (orang awam) memaklumkan ada sekumpulan individu berada dalam Hutan Simpan Tersang dipercayai ingin membuka lombong.
“Anggota kita berjaya mengesan tapak itu di Ulu Renggol dalam kawasan Hutan Simpan Tersang dan telah menemukan beberapa peralatan yang digunakan untuk membina sistem melombong seperti pam air, enjin api, pemotong besi dan masing-masing dua unit palong serta mesin kimpalan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Mohd Hizamri berkata, pihaknya juga menemui sebuah motosikal dan dua jengkaut yang disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pembersihan kawasan, membina jalan serta menggali lubang namun ia disimpan di luar kawasan hutan simpan.
Katanya, ketika serbuan dilakukan pihaknya tidak menemui pekerja di kawasan terbabit dan berkemungkinan mereka sudah mengetahui kehadiran pihak berkuasa.
“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa anggota sindiket itu ada perancangan untuk membuka lombong emas di kawasan itu.
“Malah kita percaya usaha terancang ini membabitkan individu yang berpengalaman luas melakukan aktiviti melombong emas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!