Budak maut jatuh lubang kumbahan
IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan lemas selepas terjatuh dalam lubang kumbahan di Kuarters Polis Jalan Pasir Puteh di sini hari ini.
Dalam kejadian itu Anas Hadif Ahmad Hafiz ditemukan anggota penyelamat pada kedalaman dua meter dalam lubang terbabit.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Mohd Fadzeli Che Hussin berkata, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi.
“Anggota bertindak menggunakan pam untuk mengeluarkan sebahagian air kumbahan untuk memudahkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Seorang anggota dipakaikan abah-abah dan tali untuk mencari mangsa di dalam lubang terbabit pada kedalaman dua meter dan menemui mangsa pada jam 9 pagi,” katanya.
Menurutnya, anggota memberi bantuan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) setelah mangsa berjaya dikeluarkan.
“Bagaimanapun pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta semua pihak agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak supaya tragedi kanak-kanak maut selepas terjatuh ke dalam sebuah lubang kumbahan najis tidak berulang.
“Takziah buat keluarga Allahyarham adik Mohammad Anas Hadif Ahmad Hafiz. Saya doakan keluarganya tabah menghadapi dugaan ini,” kata Timbalan Perdana Menteri dalam catatan Twitter beliau, hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!