Kerja sendiri boleh carum KWSP

Peserta berkesempatan mengemaskini maklumat akaun KWSP yang disediakan pada Celik Kewangan 2.0 yang diadakan di H Elite Design Hotel di sini. - FOTO ROSLI TALIB
Peserta berkesempatan mengemaskini maklumat akaun KWSP yang disediakan pada Celik Kewangan 2.0 yang diadakan di H Elite Design Hotel di sini. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KOTA BHARU - Masih ramai belum mengetahui bahawa seseorang individu yang bekerja sendiri juga boleh mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan KWSP Kota Bharu, Mawardi Kamaru Zaman berkata, mereka yang bekerja sendiri seperti artis, wartawan dan peniaga termasuk dalam talian yang menggunakan media sosial sebagai medium pemasaran, seharusnya mempunyai simpanan yang lebih terjamin untuk masa depan.

“Kini lebih ramai rakyat memilih untuk bekerja sendiri dan tidak hanya bergantung kepada pendapatan makan gaji.

“Bagi mereka yang berada dalam sektor pekerjaan formal, sudah tentu mereka mencarum KWSP melalui majikan masing-masing, manakala bagi orang perseorangan yang bekerja sendiri pula, mereka boleh mencarum KWSP melalui Skim Caruman Sukarela,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sembang Santai Issey bersama KWSP & MDEC-Simpanan Masa Depan: Sudah Bersediakah Kita? pada Seminar Celik Kewangan 2.0 di H Elite Design Hotel di sini Sabtu lalu.

Sembang santai itu turut menampilkan panel undangan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Tengku Hanis Wahida Tengku Abd Rahim yang berkongsi ilmu perniagaan dalam talian dan selebriti terkenal, Issey Fazlisham atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin yang berkongsi pengalamannya sebagai seorang artis serta pencarum KWSP.

Mawardi berkata, Skim Caruman Sukarela KWSP sangat praktikal dan sesuai dimanfaatkan oleh golongan bekerja sendiri kerana memberi ruang kepada pencarum untuk menetapkan sendiri berapa jumlah yang mahu dicarum pada setiap bulan, namun paling penting bagi pencarum untuk kekal konsisten serta berdisiplin.

“Pihak kami memahami keadaan individu berniaga yang ada pasang surutnya. Kadang-kadang banyak untung dan ada masa pula perjalanan perniagaan mereka perlahan, bergantung kepada pelbagai faktor.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, melalui skim ini terpulang dan bergantung kepada mereka berapa jumlah yang mereka ingin carum setiap bulan, serendah RM5 sekali pun di mana-mana kaunter KWSP atau lebih mudah boleh dilakukan secara dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Issey yang turut berkongsi pengalamannya berkata, beliau mula menyedari kelebihan mencarum KWSP selepas bekerja di sebuah stesen radio.

“Dahulu saya tidak pernah ada simpanan dalam KWSP, namun ia berubah sejak saya berjumpa dengan seorang senior dalam bidang seni. Beliau berpesan agar menyimpan pada usia muda supaya tidak susah apabila tua nanti.

“Sekarang saya sedar walaupun kita ada menabung sendiri, namun apabila terdesak kita akan tetap korek tabung juga, akan tetapi apabila mencarum dengan KWSP, kita jadi lebih berdisiplin dan walaupun mencarum secara sukarela, kita perlulah konsisten mencarum setiap bulan. Biar sedikit asalkan tetap disiplin,” katanya.

Sementara itu, peniaga baju di Pekan Rantau Panjang, Mohd Fazlizam Razali, 36, mengakui tidak pernah membuka akaun KWSP untuk mencarum wang demi masa depannya walaupun sudah 20 tahun menceburi bidang perniagaan.

“Sebelum ini saya tidak mengambil berat soal simpanan, namun selepas menghadiri seminar ini saya terus tersedar mengenai kepentingan mencarum dan mendaftar untuk mencarum dalam Skim Caruman Sukarela.

“Saya bapa tunggal dan sangat berharap simpanan saya nanti dapat membantu saya di hari tua dan terus menampung tiga anak-anak saya yang berusia 10 hingga 16 tahun,” katanya.

Mohd Fazlizam dan Mohd Sa'-ari - FOTO ROSLI TALIB
Mohd Fazlizam dan Mohd Sa'-ari - FOTO ROSLI TALIB

Mohd Sa’-ari Mahmood, 38, pula berkata, dia mencari rezeki sebagai peniaga barangan permainan di pasar malam dan pendapatannya tidak menentu serta bergantung kepada keadaan cuaca.

“Berniaga pada bulan Januari hingga Jun dapat keuntungan ribuan ringgit, namun pendapatan kami akan merosot apabila tiba musim tengkujuh.

“Dengan Skim Caruman Sukarela KWSP ini kami tidak risau kerana kalau untung sikit kami boleh carum sikit dan begitu juga sebaliknya. Saya terasa rugi kerana sedikit lambat mendaftar, sepatutnya mencarum lebih awal lagi,” katanya.

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan KWSP, Mawardi Kamaru Zaman bersama Selebriti, Issey Fazlisham dan Jurulatih e-Usahawan, Malaysia Digital Economy Corporation, Tengku Hanis Wahida Tengku Abd Rahim ketika forum Celik Kewangan 2.0 yang diadakan di H Elite Design Hotel di sini. - FOTO ROSLI TALIB
Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan KWSP, Mawardi Kamaru Zaman bersama Selebriti, Issey Fazlisham dan Jurulatih e-Usahawan, Malaysia Digital Economy Corporation, Tengku Hanis Wahida Tengku Abd Rahim ketika forum Celik Kewangan 2.0 yang diadakan di H Elite Design Hotel di sini. - FOTO ROSLI TALIB

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!