Pas harap calon Melayu tanding di Tanjung Piai

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pas Johor mengharapkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai November ini dipilih dalam kalangan masyarakat setempat yang mempunyai rekod bersih.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, pandangan itu disampaikan Pas Johor dalam pertemuan bersama UMNO Johor yang diketuai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad baru-baru ini.

“Saranan kita (Pas) mengenai calon yang akan bertanding seeloknya hendaklah calon tempatan yang boleh diterima semua anggota masyarakat dan seboleh-bolehnya dalam kalangan Melayu Islam yang bersih dari isu-isu negatif.

“Kita mengharapkan biarlah calon Melayu Islam dicalonkan bukan kerana rasis atau sebagainya tetapi kerana mengikut keadaan sekarang, melihat realiti semasa dengan majoriti Melayu Islam di sana, jadi kita rasa lebih baik kita pilih calon Melayu Islam dan kita sudah kemukakan hujah-hujah kita dan UMNO pun pandangan mereka hampir sama dengan kita,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Abdullah bagaimanapun berkata, pihaknya tetap akan memberi sokongan dan akan bekerjasama walaupun keputusan yang akan ditetapkan mengenai calon yang akan mewakili pembangkang di PRK Tanjung Piai tidak seperti yang diutarakan.

“Walau apapun keputusan yang diputuskan kita akur dan akan bekerjasama atas semangat Muafakat Nasional dan ia tidak tertakluk untuk Islam sahaja. MIC dan MCA pun boleh bernaung di bawah piagam ini kerana agenda lebih luas, kita tidak pinggirkan non-Muslim,” katanya.

Abdullah turut mengingatkan bahawa pihaknya tidak boleh berasa selesa walaupun ada teori mengatakan pembangkang boleh memenangi PRK Tanjung Piai kali ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Tanjung Piai: Jangan persoal parti mana bertanding, kata Zahid

Artikel Berkaitan:

“Kalau mengikut teori semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) menang tipis dan Pas ketika itu mendapat undian lebih 2,000, jadi kiraan kasar sudah boleh menang kalau ikut undi BN dan Pas tetapi kita tidak boleh selesa dan terlalu yakin dengan anggapan itu.

“Walaupun PRK sebelum ini seperti di Rantau, Semenyih dan Cameron Highlands dimenangi pembangkang seolah menunjukkan satu petunjuk yang positif kepada kita tetapi harus diingatkan jangan terlalu selesa kerana apa sahaja boleh terjadi, pelbagai kemungkinan boleh berlaku tetapi apa yang penting kerjasama semua pihak,” katanya lagi.

Penyandang kerusi Tanjung Piai, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU14 lepas, Dr Md Farid, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas) dengan majoriti 524 undi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!